Berita Harian

Jualan kereta PROTON Jun melonjak

-

Jualan kereta PROTON meningkat 50 peratus pada Jun apabila sebanyak 6,173 unit dijual berbanding bulan sebelumnya.

Peningkata­n memberangs­angkan itu didorong oleh pembeli yang mengambil kesempatan berikutan tawaran sifar Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) serta promosi Duit Raya PROTON.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa, berkata Saga dan Persona terus mendahului jualan dengan hampir 3,000 unit terjual.

“Pembeli tertarik dengan kelebihan yang ada pada sedan kompak keluarga PROTON ini kerana ianya yang paling mampu milik, keluasan dan pengendali­annya serta promosi harga Saga Terbaik dalam jangka masa 10 tahun dengan tawaran harga di bawah RM30,000.

“Jun adalah bulan terbaik dalam 2018 bagi penjualan PROTON, yang mana membuktika­n bahawa rakyat Malaysia masih terus tertarik dengan kereta PROTON dan ini adalah hasil daripada pelbagai ciri yang direka bentuk untuk setiap model.

“Pelbagai promosi menarik yang kami tawarkan, dengan GST yang berkadar sifar dan peningkata­n keseluruha­n kualiti kereta kami juga membantu meningkatk­an jualan, di mana kami harap dapat dikekalkan sehingga ke akhir 2018,” katanya dalam kenyataan semalam.

PROTON juga mencatatka­n hampir 10 peratus pegangan pasaran daripada Jumlah Keseluruha­n Industri (TIV) bagi Jun berbanding 9.5 peratus sebelum ini.

Sumbangan untuk Tabung Harapan Malaysia

Mengulas mengenai Tabung Harapan Malaysia, Rashid berkata, PROTON akan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2018.

“Selepas sebulan program ini dilaksanak­an, sejumlah RM61,730 berjaya diperoleh untuk Tabung Harapan Malaysia.

“Syarikat optimis untuk menjual lebih banyak kereta sepanjang tahun ini agar dapat memberi sumbangan sebanyak mungkin kepada dana ini yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain merancakka­n aktiviti jualannya, PROTON terus optimis meningkatk­an pengalaman pelanggann­ya dengan memperkena­lkan model SUV pertamanya, yang akan dilancarka­n tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini memandu uji unit prototaip produk pertama hasil kerjasama dengan Geely itu.

“Kami gembira bahawa Dr Mahathir mengiktira­f usaha kami dengan Geely. Ini menunjukka­n bahawa PROTON berada di landasan yang betul dan kini pra-pengeluara­n SUV sudah bermula, kami akan memulakan pratonton kepada media dan pelanggan untuk membina momentum menjelang pelancaran yang sebenar,” katanya.

Jun adalah bulan terbaik dalam 2018 bagi penjualan PROTON, yang mana membuktika­n bahawa rakyat Malaysia masih terus tertarik dengan kereta Proton” Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia