Berita Harian

JAS siasat tahap pencemaran udara di Minyak Beku

Laporan akan diserahkan kepada kerajaan negeri secepat mungkin

- Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat:

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyiasat tahap pencemaran udara dan air di Minyak Beku, dekat sini, berikutan kewujudan pusat pengumpula­n dan pengagihan bauksit di situ.

Pengarah Alam Sekitar Johor, Datuk Dr Muhammad Ezani Mat Salleh, berkata pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah membuat siasatan dan pemantauan rapi sebaik laporan mengenai kewujudan pusat pengumpula­n dan pengagihan bauksit di Minyak Beku dilaporkan NSTP kelmarin.

Katanya, siasatan ditumpukan terhadap tahap pencemaran udara di sekitar Minyak Beku, selain pencemaran air apabila hujan terutama pada larian air.

“Laporannya akan disiapkan segera sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Langkah pengawalan

“Kita sedang periksa pada skala mana pencemaran di Minyak Beku berikutan aduan penduduk yang dilaporkan, sama ada tahap pencemaran di bawah atau melebihi 150 mikrogram per meter padu udara, yang disifatkan sebagai berbahaya.

“JAS juga akan mengarahka­n pengendali bauksit di Minyak Beku melaksanak­an langkah pengawalan pencemaran termasuk menggunaka­n lori mengangkut bauksit yang bertutup, kawasan penyimpana­n bauksit yang teratur dan mematuhi peraturan serta membersihk­an laluan serta jalan yang kotor.

“Bidang kuasa JAS hanya tertakluk kepada mengawal tahap pencemaran, manakala peraturan lain diselia Pejabat Tanah dan Galian (PTG),” katanya ketika dihubungi NSTP.

Semalam, NSTP melaporkan penduduk Minyak Beku, dekat sini, mengeluh dengan pencemaran bauksit apabila kawasan berkenaan dijadikan pusat pengumpula­n dan pengagihan bijih itu sejak dua bulan lalu.

Beberapa penduduk Minyak Beku mendakwa kewujudan tiba-tiba bauksit di kawasan berkenaan menjadi mimpi ngeri penduduk berkenaan berikutan masalah pencemaran di samping pergerakan lori mengangkut bauksit di laluan berkenaan hampir sepanjang masa mendatangk­an risiko keselamata­n kepada mereka.

Sementara itu, penduduk Minyak Beku, Kamarul Faizal Kamaruddin, 38, berkata, tiada lagi kelibat lori pengangkut bauksit kelihatan sebaik laporan NSTP disiarkan semalam.

“Sejak petang semalam (kelmarin), jalan dan laluan di sini menjadi lenggang berbanding sebelum ini yang sibuk dengan lori pengangkut bauksit yang bertali arus mulai jam 7 pagi hingga ke malam, sekali gus melegakan penduduk.

“Pagi tadi juga kelihatan anggota serta pegawai Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) melakukan pemantauan dan pemeriksaa­n di laluan utama Minyak Beku,” katanya.

JAS akan arahkan pengendali bauksit laksana langkah kawal pencemaran termasuk guna lori angkut bauksit bertutup” Muhammad Ezani

Mat Salleh,

Pengarah Alam Sekitar Johor

 ?? [FOTO ESSA ABU YAMIN/BH] ?? Keadaan tingkap rumah penduduk diselaputi habuk tebal akibat debu bauksit di Minyak Beku, Batu Pahat.
[FOTO ESSA ABU YAMIN/BH] Keadaan tingkap rumah penduduk diselaputi habuk tebal akibat debu bauksit di Minyak Beku, Batu Pahat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia