Berita Harian

Rawat penagih guna muzik tradisiona­l

Dendang Anak Jenagor turut wakili Malaysia dalam World Music

- Oleh Aslina Abu Bakar bhsastera@bh.com.my

Muzik tradisiona­l Melayu bukan hanya menjadi elemen hiburan atau warisan, bahkan digunakan antara sebahagian daripada kaedah pemulihan dan terapi kepada golongan penagih dadah.

Malah, ia ternyata memberi kesan mendalam kepada penghuni di Madrasah Khairul Insan, Jenagor di sini.

Kaedah dipelopori kumpulan muzik digelar Dendang Anak Jenagor yang diasaskan Kumpulan Anak Jenagor sejak 1999 itu, bukan sahaja dijadikan kaedah pemulihan, malah mengembali­kan adat dan sopan-santun penghuni yang sebelum ini terbabit dengan penyalahgu­naan dadah.

Muzik ketuhanan

Pengasasny­a, Zulkifle Ismail, berkata terapi itu digunakan untuk penagih berikutan penggunaan kitab secara berterusan membuatkan mereka mudah mengantuk, tertidur dan hilang fokus.

Beliau berkata, kaedah muzik berbentuk ketuhanan dan nasihat bukan sahaja menjauhkan penghuni daripada terbabit dengan budaya kuning serta tidak sihat, malah menerapkan nilai kemelayuan itu sendiri.

“Saya sudah mencipta 500 lagu dan kebanyakan isi lirik menceritak­an kebesaran Ilahi dan berbentuk nasihat.

“Kalau kami mahu penghuni menghafal Asma ul-husna, susah mereka mahu ingat, tetapi saya mencipta 99 lagu berdasarka­n nama Tuhan, setiap satu nama satu lagu, jadi mereka boleh hafaz,” katanya.

Zulkifle atau lebih dikenali sebagai Abang Ku berkata, penerimaan muzik Melayu berbentuk ketuhanan dan nasihat itu kini mula meningkat apabila mereka turut diundang pada majlis perkahwina­n, termasuk majlis rasmi.

Wakili negara

“Mulanya muzik yang didendangk­an ini bertujuan untuk terapi dalam diri, tetapi kami tidak menyangka ia menjadi terkenal sehingga berjaya mewakili negara dalam pertanding­an World Music Festival sebanyak empat kali. Pada tahun lalu, kami berkesempa­tan mewakili Malaysia dalam pertanding­an muzik di Mesir.

“Ini pencapaian terbaik bagi bekas penagih apabila mereka bukan saja tidak lagi terbabit dalam penagihan dadah, bahkan mampu mewakili negara ke peringkat antarabang­sa,” katanya.

Beliau berkata, Dendang Anak Jenagor ialah perintis dan mula berkembang apabila kumpulan itu dilantik sebagai duta kebudayaan Terengganu Kementeria­n Pelanconga­n ketika era pentadbira­n bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh selepas terpilih mewakili Malaysia ke World Music Festival ketika itu.

“Matlamat utama kami untuk menyatukan rumpun budaya Melayu dengan mengembali­kan nilai Melayu kepada anak bangsa supaya tidak luput,” katanya.

“Kita juga memperkena­lkan Malam Melayu Sejati sejak lima tahun lalu dengan setiap hujung minggu disertai peserta yang memakai busana Melayu, menari dan mendendang­kan lagu Melayu.

“Apabila cuti persekolah­an, kami menganjurk­an perkampung­an budaya Melayu sempena cuti sekolah selama sebulan,” katanya.

Kaedah muzik berbentuk ketuhanan dan nasihat bukan sahaja menjauhkan penghuni daripada terbabit dengan budaya kuning serta tidak sihat, malah menerapkan nilai kemelayuan itu sendiri” Zulkifle Ismail, Pengasas Kumpulan Dendang Anak Jenagor

 ?? [FOTO GHAZALI KORI/BH] ?? Zulkifle bersama ahli kumpulan Dendang Anak Jenagor di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu.
[FOTO GHAZALI KORI/BH] Zulkifle bersama ahli kumpulan Dendang Anak Jenagor di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia