Berita Harian

WAN AZIZAH TAK LAWAN ANWAR JAWATAN PRESIDEN PKR

Tarik diri jika Anwar dicalon jawatan tertinggi parti

- Oleh Nadia Hamid dan Nor Ain Mohamed Radhi

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam mengesahka­n tidak akan bertanding jika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicalonkan bagi jawatan tertinggi itu pada pemilihan parti, bulan depan.

“Tidak...,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan mempertaha­nkan jawatan disandang jika Anwar yang juga Ketua Umum PKR bertanding kali ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menafikan wujud perebutan jawatan Presiden parti berkenaan antara beliau dengan Anwar.

“Belum ada keputusan sama ada saya akan bertanding atau tidak (jawatan Presiden). Terpulang kepada kepemimpin­an tertinggi untuk putuskan, perlu bincang.

“Suami (Anwar) adalah Ketua Umum PKR. Beliau lebih ‘kanan’ berbanding Presiden,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, semalam.

PKR dilanda dilema

Sebelum ini, NSTP melaporkan PKR dilanda dilema menjelang pemilihan bulan depan apabila wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan Presiden.

Satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan, manakala satu lagi hendak beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan menggantik­an Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dipetik sebagai berkata pihak yang mahu Dr Wan Azizah kekal adalah berdasarka­n rekodnya memimpin selama 20 tahun sehingga parti berjaya memperoleh 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14, iaitu terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Perlembaga­an PKR membenarka­n Dr Wan Azizah bertanding jawatan Presiden untuk sepenggal lagi.

Nafi wujud dua kem

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembanguna­n Keluarga, menafikan wujud dua kem yang masing-masing memihak beliau dan Anwar.

“Tiada lagi kem. Saya menafikan sekeras-kerasnya ada kem Azizah dan kem Anwar. Kita satu pasukan,” katanya.

Ketika ditanya laporan media yang memetik Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin sebagai mahu Anwar bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu nanti, Dr Wan Azizah berkata, PKR mengamalka­n demokrasi dan ahli boleh mencalonka­n sesiapa sahaja pilihan mereka.

Belum ada keputusan sama ada saya akan bertanding atau tidak (jawatan Presiden). Terpulang kepada kepemimpin­an tertinggi untuk putuskan, perlu bincang” Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia