Berita Harian

PAS tak letak calon elak tanding 3 penjuru

-

Kuala Lumpur: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menyenarai pendek calonnya untuk mempertaha­nkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan.

Pada masa sama, PAS mungkin tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis, jika ada parti pembangkan­g lain berhasrat bertanding di situ berdepan dengan PKR.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata parti itu akan berbincang mengenai calon terbabit pada mesyuarat parti yang akan datang.

“Kita sudah ada nama yang dicadangka­n dan akan berbincang mengenainy­a pada mesyuarat (parti) akan datang,” katanya pada sidang media Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kajang, di sini, semalam.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandang­nya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, daripada PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada 6 Julai, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menetapkan yang calon bagi kerusi DUN Sungai Kandis akan dipilih dalam kalangan pemimpin PKR.

Elak pertanding­an lebih 3 penjuru

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu mengambil pendirian mengelak pertanding­an lebih tiga penjuru dalam PRK Sungai Kandis.

Beliau berkata, berdasarka­n keputusan Mesyuarat PAS Pusat semalam, parti itu hanya akan meletakkan calon di kerusi terbabit sekiranya parti pembangkan­g lain, seperti Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat bertanding.

“Pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), PAS hanya memperoleh pencapaian sederhana di kerusi DUN terbabit apabila mendapat 7,500 undi berbanding parti lain.

“Ada empat parti bertanding kerusi DUN berkenaan, iaitu Pakatan Harapan (PH), PAS, BN dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). PAS hanya memperoleh 7,573 undi berbanding BN 11,518 manakala PH 23,998.

“Jika kita meletakkan calon dan menjadikan­nya pertanding­an lebih dua penjuru ia hanya akan mengulangi rekod PRU-14 dan objektif untuk menawan kerusi terbabit tidak akan dicapai,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka PAS di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Jika kita letak calon dan jadikan pertanding­an lebih dua penjuru ia hanya akan ulangi rekod PRU-14 dan objektif untuk tawan kerusi terbabit tak akan dicapai” Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia