Berita Harian

Sengaja rahsia bangkai kapal didenda RM2,000

Orang ramai perlu lapor penemuan kepada pihak berkuasa

- Oleh Olivia Miwil dan Avila Geraldine

Orang ramai khususnya, penyelam perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika menemui bangkai kapal di mana-mana lokasi di perairan negara.

Mengikut Seksyen 211(b) Ordinan Perkapalan Saudagar 1960, pihak yang gagal melaporkan penemuan itu boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000.

Tindakan ini boleh dikenakan terhadap pihak yang sengaja merahsiaka­n penemuan khazanah terbabit berkemungk­inan untuk mendapatka­n barangan berharga daripada bangkai kapal karam berkenaan.

Pengarah Jabatan Laut Sabah, Norjipin Saidi, berkata pihaknya bekerjasam­a dengan Jabatan Muzium, Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam pengurusan kapal karam di perairan negeri ini.

Katanya, muzium biasanya akan mengendali­kan bangkai kapal karam berusia 50 tahun ke atas untuk nilai sejarah.

Jadi terumbu buatan

“Bagi Jabatan Perikanan, ia akan menggunaka­n struktur kapal karam sebagai terumbu buatan (bagi menarik ikan). Pada tahun sebelum ini, kerjasama dilakukan dengan Maritim Malaysia untuk menenggela­mkan kapal KM Kuraman di perairan Taman Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Selepas kerja salvaj kapal karam Perang Dunia Kedua milik Jepun di perairan Usukan, Kota Belud pada tahun lalu, Norjipin berkata, jabatan itu tidak menerima sebarang permohonan kerja lain daripada mana-mana pihak.

“Mengikut ordinan sama, jabatan boleh mengambil alih bangkai kapal yang tidak dituntut dan melupuskan­nya jika tiada maklum balas daripada pemilik selepas notis 30 hari dikeluarka­n,” katanya.

Mengenai pengeluara­n permit untuk pengendali menyelam atau penyelam ke tapak kapal karam, Norjipin berkata, ia di luar bidang kuasa jabatan itu kerana tanggungja­wab utama jabatannya adalah untuk memastikan keselamata­n pelayaran kapal di laut.

Semalam, akhbar ini melaporkan Kudat berpotensi muncul sebagai lokasi lubuk aktiviti menyelam selepas dasar lautnya didakwa banyak terdapat bangkai kapal karam yang mempunyai nilai sejarah tersendiri, namun belum diketahui umum.

Pihak berkuasa, penduduk, kumpulan penyelam dan ahli sejarah mempunyai sebab untuk mempercaya­i ada banyak bangkai kapal yang masih boleh ditemui di kawasan perairan berhampira­n Kudat kerana ia adalah laluan utama kapal suatu masa dulu.

Pada masa sama, Duta Pelanconga­n Malaysia untuk Menyelam, Clement Lee, berkata promosi berlebihan ke atas bangkai kapal karam di perairan Sabah memberi risiko kepada artifak bersejarah itu terdedah kepada pencuri, atau pencari harta karun dasar laut.

30 bangkai kapal

Sementara itu, Norjipin berkata, sebanyak 30 bangkai kapal karam ditemui di sepanjang perairan negeri ini berdasarka­n laporan diterima Jabatan Laut Sabah sehingga kini.

Tujuh kapal karam ditemui di dasar laut perairan Kudat dan Sandakan, Tawau (lima), Kota Kinabalu (empat) dan masing-masing satu bangkai kapal di perairan Lahad Datu, Semporna, Sipitang, Beaufort, Menumbok serta Kuala Penyu.

“Rekod berhubung penemuan bangkai kapal karam terbabit adalah berdasarka­n maklumat disampaika­n orang awam termasuk penyelam,” katanya.

Mengikut ordinan sama, jabatan boleh mengambil alih bangkai kapal yang tidak dituntut dan melupuskan­nya jika tiada maklum balas daripada pemilik selepas notis 30 hari dikeluarka­n” Norjipin Saidi, Pengarah Jabatan Laut Sabah

 ??  ?? Keratan akhbar BH Ahad semalam.
Keratan akhbar BH Ahad semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia