Berita Harian

Penulis wanita Britain kuasai pasaran novel

-

Kuala Lumpur: Penulis wanita benar-benar menguasai pasaran penerbitan novel bukan hanya di negara ini, bahkan di Britain.

Penulis wanita Britain mendominas­i carta buku terlaris sepanjang 2017, malah fenomena itu dijangka akan terus berlaku pada tahun ini.

The Guardian melaporkan di Britain, pengarang wanita menguasai senarai 10 jualan buku sastera terlaris dengan Margaret Atwood berada di tempat pertama dalam senarai yang menampilka­n seorang penulis lelaki sahaja, iaitu Haruki Murakami.

Senarai itu tidak dinilai daripada hasil jualan buku semata-mata tetapi juga adaptasi karya ke layar perak seperti adaptasi The Handmaid’s Tale and Alias Grace melonjakka­n pendapatan Atwood sebanyak £2.8 juta (RM14.9 juta).

Turut berada dalam senarai ialah Sarah Perry dengan £1.6 juta (RM8.5 juta) dan Helen Dunmore dengan kumpulan puisinya Inside The Wave yang meraih £1.1 juta (RM5.8 juta). Murakami berada di kedudukan ke-6 dengan £1 juta (RM5.3 juta), diikuti pengarang seperti Ali Smith, Zadie Smith, Maggie O’farrell dan Arundhati Roy.

Tak tersenarai tajuk terlaris

Penerima Hadiah Nobel Kesusaster­aan 2017, Kazuo Ishiguro bagaimanap­un gagal berada dalam senarai kerana hanya memperoleh £709,000 (RM3.7 juta) pada 2017.

Begitu juga dengan nama besar seperti Julian Barnes dan Ian Mcewan yang hanya memperoleh £855,000 (RM4.5 juta).

Bagaimanap­un, menurut Arts Council England tahun lalu, jualan buku fizikal merosot dengan hanya beberapa orang penulis sahaja mampu menyara hidup dengan hasil jualan buku.

Justeru, meskipun penulis wanita menguasai fiksyen sastera, senarai itu tidak pun berjaya mengisi separuh slot dalam senarai 50 tajuk terlaris UK yang merangkumi pelbagai genre.

Senarai 50 tajuk terlaris pelbagai genre didahului oleh selebriti terkemuka David Walliams dan diikuti tiga penulis wanita, JK Rowling, Julia Donaldson dan penulis buku kanakkanak Fiona Watt. Turut berada dalam senarai berkenaan adalah chef selebriti, Jamie Oliver.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia