Berita Harian

‘Anak seni hati kena kering’

Scha latih diri tahan sabar, tak ambil peduli komen negatif netizen

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan

Pengalaman lalu banyak mematangka­n Scha Alyahya. Andai dulu, dia sering bertindak melulu dan menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan amarah, kematangan usia membuatkan Scha atau nama lengkapnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 35, berubah.

Lebih berhatihat­i mengatur setiap gerakgeri dan tutur kata, isteri kepada pengacara dan pelakon, Awal Ashaari itu belajar untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Sabar menelan pelbagai kerenah negatif netizen, Scha berkata, bapa dan suami menjadi tempat dia mengadu setiap kali berdepan tekanan.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Dulu, saya kerap meluahkan ketidakpua­san hati atau kemarahan di media sosial, terutama Twitter. Difikirkan balik, apa sebenarnya yang saya cari dan dapat apabila berbuat demikian?

“Lamakelama­an saya mula sedar, saya tidak boleh selamanya begitu. Saya latih diri supaya tidak ambil hati atau terkesan dengan komen negatif atau kritikan netizen. Saya mula membiasaka­n diri supaya tidak ambil peduli dan membalas komen negatif netizen.

“Saya belajar untuk mengawal emosi dan didik diri supaya tidak lagi mudah melatah. Alhamdulil­lah, sejak itu, saya melihat banyak hal positif berlaku dalam kerjaya dan hidup. Jika saya cepat marah, ia sebenarnya turut memberi kesan kepada perjalanan kerjaya,” katanya.

Scha berkata, dia bertuah kerana bapanya banyak menitipkan pelbagai nasihat dan pendapat setiap kali dibelenggu masalah. Begitu juga Awal yang tidak pernah membiarkan dia bersendiri­an apabila berdepan kecaman netizen.

“Berbanding bapa yang lebih tenang, Awal pula agak emosi. Saya faham, sebagai suami, dia mahu melindungi saya supaya tidak lemah dan terkesan. Satu kelebihan Awal, dalam situasi marah, dia masih boleh memberikan pendapat secara rasional,” katanya.

Berkasar bukan jalan penyelesai­an

Namun, kata Scha, itu tidak bermakna dia akan menerima apa sahaja yang dilontarka­n netizen. Jika kritikan diberikan keterlalua­n, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mempunyai pendekatan tersendiri untuk membalasny­a.

Saya belajar untuk mengawal emosi dan didik diri supaya tidak lagi mudah melatah. Alhamdulil­lah, sejak itu, saya melihat banyak hal positif berlaku dalam kerjaya dan hidup” Scha Alyahya

Pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Awan Dania itu berkata, dia akan membalas komen negatif menggunaka­n ayat berlapik, tetapi dalam nada menyindir.

Bertuah kerana Awal sentiasa tegas mempertaha­nkannya setiap kali dia berdepan kecaman, Scha berkata, dia kini lebih terbuka, malah akur menerima kenyataan, tidak semua orang menyukainy­a.

“Memang saya agak terkesan, terutama dengan sikap segelintir netizen yang seolah-olah mahu kita mengikut telunjuk mereka. Apabila difikirkan balik, jika benda yang dibuat itu tidak salah, kenapa perlu saya marah orang yang tiada kaitan?

“Sebagai selebriti, kita juga ada perasaan. Tetapi, pilihan terletak di tangan kita sama ada mahu marah atau membiarkan sahaja sesuatu isu berlalu. Jika kita membalas setiap komen, ia sebenarnya membuka ruang kepada orang luar untuk terus menguji kesabaran.

“Saya tahu, tidak semua orang suka menyukai diri saya. Jika ada yang terang-terangan menunjukka­n mereka tidak suka, saya terima. Saya tidak perlu marah,” katanya.

Jadi diri sendiri

Sikap positifnya itu juga membuatkan Scha sentiasa menjadi pilihan pelbagai jenama terkenal dalam dan luar negara untuk menggunaka­n khidmatnya sebagai duta atau jurucakap produk. Scha berkata, dalam setiap tindaktand­uknya, dia akan memikirkan kesan baik dan buruk supaya tidak mencemar imej jenama yang dibawanya.

Ibu kepada Lara Alana, 4, itu berkata, lebih sedekad mencipta nama, dia hanya menjadi dirinya sendiri. Mudah didekati dan tidak suka berpura-pura, Scha berkata, prinsip itu membantuny­a untuk terus kekal dalam industri.

“Saya perlu kuat dan bijak membawa diri kerana orang menilai daripada cara dan pembawaan kita. Tidak perlu berlakon atau buat-buat hanya kerana mahu disayangi. Setiap apa yang kita lakukan, orang boleh menilai,” katanya.

Sanggup tunggu lama

Menerima pujian menerusi watak antagonis yang dibawanya dalam drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang disiarkan pada awal Syawal lalu, rezekinya dalam bidang lakonan semakin luas. Selepas membintang­i Bikin Filem, Scha akan ke Indonesia pada November ini untuk memulakan penggambar­an sebuah filem seram.

Kali terakhir muncul menerusi filem Dampak pada 2013, Scha mengakui, dia sentiasa rindu untuk beraksi di layar lebar. Namun, dia tidak tergesa-gesa menerima setiap tawaran yang datang, sebaliknya sanggup menanti naskhah terbaik untuk kembali memenangi hati peminat.

Menerusi Bikin Filem yang diarahkan M Latiff Zami, Scha membawakan watak Zarina yang banyak bermain dengan emosi. Scha mengakui, filem itu memberikan banyak cabaran yang menguji keupayaann­ya sebagai anak seni.

“Memandangk­an saya membawakan watak sebagai pelakon, saya menggunaka­n pengalaman yang ada untuk memberi gambaran sebenar perjalanan hidup anak seni. Menerusi filem ini, penonton akan dapat melihat susah payah yang dilalui untuk menghasilk­an sesebuah produksi.

“Bikin Filem secara tidak langsung akan membuka mata masyarakat supaya tidak mengambil mudah keringat kami dengan sewenang-wenangnya melakukan cetak rompak,” katanya.

 ?? [ FOTO ASWADI ALIAS / BH ] ??
[ FOTO ASWADI ALIAS / BH ]
 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] ?? Scha bersama Awal dan Lara Alana.
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] Scha bersama Awal dan Lara Alana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia