Berita Harian

Tiga bot pukat tunda langgar peraturan ditahan

Tangkap ikan melebihi kawasan ditetapkan di perairan Tanjung Tera, Tuaran

- Oleh Junaidi Ladjana

Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga bot pukat tunda kerana menangkap ikan melebihi kawasan ditetapkan di perairan Tanjung Tera, Tuaran di sini, kelmarin.

Pengarah Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata bot berkenaan ditahan pada jam 11.30 pagi, selepas dikesan dalam keadaan mencurigak­an di perairan itu ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanak­an Ops Sejahtera.

“Hasil pemeriksaa­n medapati ada tiga tekong dan 15 awakawak berusia 20 hingga 40 tahun di atas bot berkenaan.

“Seramai 16 daripada mereka adalah warga Indonesia dan dua lagi warga Filipina,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Langgar syarat sah lesen

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga bot nelayan itu melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang tiga batu nautika dari kawasan pantai di perairan Tanjung Tera, Tuaran.

“Semua mereka dan hasil tangkapan membabitka­n 545 kilogram ikan serta bot dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut.

“Kes terbabit disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zubil meminta semua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat sah lesen.

“Saya juga mengingatk­an semua pengusaha bot tidak mementingk­an keuntungan semata-mata, sehingga mengakibat­kan sumber ikan pupus dan kian berkuranga­n.

“Kami sentiasa mengambil berat setiap aduan yang diterima dan memantau aktiviti bot nelayan. Tindakan tegas boleh diambil terhadap pengusaha bot yang ingkar,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia