Berita Harian

Projek Melaka Gateway lancar

Pembanguna­n sedia 45,000 peluang kerja, jana RM1.188 trilion

- Oleh Azzman Abdul Jamal

Projek bernilai RM43 bilion, Melaka Gateway, berada di landasanny­a dengan laporan status projek berkenaan menunggu untuk diserahkan kepada Kementeria­n Pengangkut­an dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), kata pemegang konsesi Melaka Gateway, KAJ Developmen­t Sdn Bhd (KAJD).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Melaka Gateway, Datuk Michelle Ong, berkata pada 29 Jun lalu, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) dan menyatakan bahawa projek itu diyakini memberi impak positif terhadap Melaka dan negara ini.

“Kami terus mengadakan perbincang­an bersama pemegang berkepenti­ngan utama menerusi mesyuarat dengan Ketua Menteri Melaka dan MKP.

“Projek ini dijangka akan menyediaka­n sebanyak 40,000 hingga 45,000 pekerjaan untuk tempoh lebih 10 tahun dan mampu menjana RM1.188 trilion kepada ekonomi tempatan apabila ia disiap sepenuhnya. Malah, ia juga akan menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Merangkumi 12 presint

Melaka Gateway adalah projek seluas 552.8 hektar bernilai RM43 bilion yang dilancar pada 2014, terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadany­a adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.

Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabang­sa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelanconga­n.

Ong berkata, projek itu juga merangkumi Terminal Pelayaran Antarabang­sa Melaka, yang dibangunka­n bersama Royal Caribbean Cruises Ltd, dijangka siap menjelang suku ketiga 2019 dan bakal menarik lebih 2.5 juta pelancong setahun.

“Pada Jun 2017, Melaka Gateway melantik Sinohydro Limited (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Powerchina Internatio­nal sebagai kontraktor kejurutera­an, pemeroleha­n, pembinaan dan pengoperas­ian (EPCC).

“Pelabur kami adalah dari Amerika Syarikat (AS), Belanda, Jerman, Asia Barat dan Korea yang menyumbang berbilion-bilion ringgit menerusi pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

 ?? [FOTO RASUL AZLI SAMAD/BH] ?? Tapak projek Melaka Gateway di Pulau Melaka yang dijangka siap pada 2025. .
[FOTO RASUL AZLI SAMAD/BH] Tapak projek Melaka Gateway di Pulau Melaka yang dijangka siap pada 2025. .

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia