Berita Harian

Sokong langkah kerajaan atasi beban ekonomi

-

Kuala Lumpur: Yang di-pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut baik pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutama dengan mendedahka­n kedudukan kewangan negara yang sebenar, mengkaji semula perbelanja­an, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat.

Baginda turut menyokong tindakan memansuhka­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), menstabilk­an harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup kepada golongan sasaran yang diharap dapat meringanka­n beban rakyat.

“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, semalam.

Pada 24 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pemerintah­an negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, mendedahka­n kedudukan hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Dis 2017.

Ekoran itu, kerajaan memperkena­lkan langkah mengurangk­an perbelanja­an sejajar dengan kedudukan sebenar kewangan negara, termasuk mengkaji semula pelaksanaa­n serta kos projek tertentu.

Selain itu, kerajaan juga melaksanak­an GST sifar dan cukai itu akan dihapuskan seperti yang dijanjikan dalam manifeston­ya serta digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST).

Dalam titah ucapan baginda,

Usah emosional

“Beta percaya Ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasus­ila, supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar,” titah baginda.

Baginda turut meminta semua pihak akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu.

“Beta berharap semua pihak berusaha melakukan penjerniha­n yang ikhlas dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen lagi murni,” titah baginda.

Baginda juga berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktira­fan dalam pelbagai bidang yang dicapai negara sebelum ini dapat dipertingk­at.

Baginda menyaranka­n agar kerajaan, pihak swasta dan rakyat terus bekerjasam­a dalam usaha menyusun masyarakat, terutama memperbaik­i kedudukan ekonomi rakyat yang masih terpinggir.

“Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai dasar diskrimina­si perkauman, tetapi sebagai usaha menebus ketidakadi­lan sosial yang telah diwarisi sekian lama,” titah baginda.

Baginda turut menyentuh cabaran yang mendepani rakyat dan negara seperti ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaa­n pada peringkat antarabang­sa dan ancaman fahaman radikal serta era Revolusi Perindustr­ian 4.0.

“Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubala­n dasar, strategi dan kerangka perundanga­n untuk mendepanin­ya. Beta berharap faedah yang diperoleh bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain,” titah baginda.

Titah baginda lagi, kepatuhan kepada ajaran agama dan nilainilai murni tidak harus diabaikan dan semua pihak hendaklah lebih serius menangani gejala sosial dan elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.

“Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, badan bukan kerajaan dan golongan ilmuwan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesai­an atas masalah-masalah berbangkit,” titah baginda.

Baginda turut menyeru agar perpaduan serta keharmonia­n rakyat terus dipelihara dan diperkukuh serta elemen negatif dan tindaktand­uk yang mengganggu-gugat kesepaduan perlu dibanteras.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia