Berita Harian

Ahli Parlimen bebas berbahas: Dr Mahathir

Kerajaan tidak amal pendekatan ‘kuku besi’

-

Kerajaan tidak akan mengamalka­n pendekatan ‘kuku besi’ meskipun menyedari ragam Ahli Parlimen ketika berbahas sukar dikawal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pendirian selaras gagasan Malaysia baharu itu akan terus dijadikan sandaran, sekali gus memberi kebebasan untuk mana-mana pihak mengutarak­an pertikaian atau kritikan.

“Esok kita tengoklah, tetapi Ahli Parlimen ini susah sedikit nak kawal. Biasanya dia nak cakap dan kita punya dasar ialah tiada sekatan.

“Nak cakap apa cakaplah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan Parlimen Ke-14, Penggal Pertama, semalam.

Beliau mengulas jangkaan kehangatan perdebatan di Dewan Rakyat yang bermula hari ini, dengan membahaska­n usul titah Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, masyarakat berbilang kaum di Malaysia wajar mengamalka­n pendekatan bersederha­na dalam pelbagai perkara.

Beliau berkata, titipan pesanan itu seiring mesej disampaika­n Yang di-pertuan Agong pada majlis pembukaan Parlimen Ke-14, semalam.

Dr Mahathir berkata, pendirian sama turut terpakai dalam soal polemik membabitka­n agama yang sering menjadi faktor perselisih­an faham antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Mesejnya supaya dalam semua perkara kita harus sederhana dan bertimbang rasa terhadap agama lain.

“Mereka juga harus hormat agama kita. Kalau kita mula cabul agama lain, maka kita akan terima padahnya,” katanya.

Menyentuh perkembang­an pelaksanaa­n Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST), Dr Mahathir berkata, ia berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) yang menjadi punca peningkata­n harga di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, langkah utama yang perlu dilaksanak­an kerajaan ketika ini adalah menarik balik perundanga­n GST di Parlimen.

“GST kita sudah umum berkadar sifar, justeru langkah sekarang adalah memastikan Parlimen menarik balik perundanga­n itu.

“SST berbeza kerana kalau tiada pembelian, tidak perlu menjelaska­n cukai. Berbanding GST, ia cukai nilai tambah.

Esok kita tengoklah, tetapi Ahli Parlimen ini susah sedikit nak kawal. Biasanya dia nak cakap dan kita punya dasar ialah tiada sekatan” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia