Berita Harian

Tiada rakyat dipinggir dalam proses demokrasi

Sultan Nazrin gesa pembabitan semua demi masa depan negara

- Oleh Shaarani Ismail dan Zahratul Hayat Mat Arif cnews@nstp.com.my

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah tiada siapa patut diketepika­n dalam perjalanan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah demokrasi matang, agar setaraf dengan demokrasi maju lain.

Titah baginda, tiada siapa harus dipinggirk­an dalam proses demokrasi ini, termasuk mereka yang mungkin tidak bersetuju.

“Setiap orang di bumi Malaysia harus mengambil bahagian dan kita perlu membabitka­n semua pemegang taruh negara dalam perjalanan bersejarah ini,” titah baginda dalam ucaptama pada Persidanga­n Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Kelima (WCIT 2018), bertemakan ‘Melindungi Masa Depan’ di sini, semalam.

Yang turut berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnai­n Sultan Idris Shah dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Sultan Nazrin bertitah, Malaysia baru sahaja selesai melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dua bulan lalu, yang mana rakyat dan pengundi membawa perubahan politik yang cukup besar dan tidak pernah berlaku sebelum ini melalui peti undi.

“Bermula dari saat ini dalam sejarah negara kita yang masih muda, beta berharap rakyat Malaysia dapat berasakan mereka diperkasak­an untuk membuat pernyataan dan mempengaru­hi masa depan negara,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, dalam beberapa siri WCIT yang dihadiriny­a sebelum ini, baginda turut memberikan penekanan terhadap kepentinga­n melabur dan memperkuku­hkan dunia serta golongan belia yang akan mewakili masa depan dunia.

Banyak yang perlu dilakukan bagi membolehka­n golongan muda menjadi pemacu perubahan, bagi memperkasa­kan mereka agar percaya masa depan adalah benarbenar milik mereka untuk diacu dan dibina.

Pembabitan golongan muda

“Kita sering bercakap tentang orang muda menjadi pemimpin dan pembuat dasar masa depan, namun beta cadangkan agar kita lakukan lebih banyak untuk menjadikan golongan muda berasa mereka dirujuk dan dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan hari ini,” titah baginda.

Tangani isu secepat mungkin

Sultan Perak turut bertitah bahawa menafikan kuasa belia, ketidakten­tuan kewangan, pergolakan politik dan pemanasan global hanya sebahagian daripada isu besar yang harus ditangani secepat mungkin, jika mahukan dunia mempunyai masa depan.

“Masa depan adalah tanggungja­wab kita bersama dan jika kita memikul tanggungja­wab itu, beta percaya masa depan itu sendiri akan menjadi ganjaran kepada kita pada kehidupan ini dan seterusnya,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, baginda percaya Islam mempunyai banyak untuk ditawarkan kepada dunia, dalam menangani cabaran terbesar masa depan terutama dari segi ekonomi dan alam sekitar.

“Walaupun beta membuka persidanga­n ini dengan kenyataan yang serius, beta datang ke sini hari ini (semalam) membawa pesanan yang mengandung­i harapan dan rasa positif, satu gesaan untuk bertindak.

“Beta ke sini untuk memberitah­u anda, menggesa anda agar percaya masa depan adalah milik kita.

“Masa depan adalah hak kita untuk dijaga, dibentuk dan beta harap juga untuk dinikmati. Masa depan adalah milik kita. Ia satu penegasan yang ringkas dan mudah,” titah baginda.

Titah ucapan penuh

Sultan Nazrin dalam bhonline di www.bharian.com.my

 ?? [FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] ?? Sultan Nazrin berkenan berbual dengan peserta ucaptama WCIT 2018 di Ipoh, semalam.
[FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] Sultan Nazrin berkenan berbual dengan peserta ucaptama WCIT 2018 di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia