Berita Harian

Penolong Pengarah UPEN Johor kena tahan SPRM

Suspek disyaki terbabit kes tuntutan palsu RM400,000

- Oleh Junita Mat Rasid

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan Penolong Pengarah Unit Perancanga­n Ekonomi Negeri (UPEN) Johor bagi membantu siasatan kes lima kontraktor disyaki membuat tuntutan palsu RM400,000 berkaitan kerja penganjura­n program yang sebenarnya tidak pernah diadakan.

Suspek wanita berusia 30 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 11 pagi, semalam bagi membantu siasatan kes terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bantu siasatan

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahka­n penahanan wanita itu bagi membantu siasatan.

Penahanan wanita terbabit susulan SPRM Johor menahan lima orang kontraktor daripada syarikat berasingan berusia lingkungan 30 hingga 50-an bagi membantu siasatan berhubung siasatan berkaitan tuntutan palsu, jam 10 malam kelmarin.

Hasil siasatan mendapati semua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjura­n Program Karnival SDSI (Satu Daerah Satu Industri) dan Keusahawan­an bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor sedangkan semua program terbabit tidak dilaksanak­an.

Jumlah keseluruha­n tuntutan palsu melebihi RM400,000.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Norhidayah Abdul Manaf, membenarka­n permohonan SPRM bagi menahan reman semua kontraktor itu selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia