Berita Harian

Wakil negara kini tumpu acara individu

-

Kuala Lumpur: Selepas tewas 0-3 kepada Jepun di separuh akhir acara berpasukan campuran, perjuangan pemain muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia akan diteruskan dalam saingan individu sekali gus diharap mampu mengulangi pencapaian satu emas dan dua gangsa yang dilakar tahun lalu.

Kem negara tetap menaruh harapan kepada beberapa pemain seperti Toh Ee Wei yang diyakini mampu melepasi pusingan pertama, esok.

Ee Wei yang pernah meraih gangsa di Kejohanan Remaja Dunia 2016 mahu mengubati kekecewaan dalam acara berpasukan terutama bagi acara beregu wanita di mana dia berganding­an dengan Pearly Tan.

“Secara keseluruha­n, prestasi kami masih lagi boleh diterima (dalam acara berpasukan campuran). Memang sasaran kami untuk mara sehingga separuh akhir namun hasrat kami untuk melakukan lebih dari itu ketika menentang Jepun tidak kesampaian.

“Persembaha­n saya secara individu pula, tidak terlalu teruk tetapi saya rasa boleh bermain dengan lebih baik,” kata pemain berusia 18 tahun itu.

Aksi terbaik

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, dia sudah tidak sabar lagi untuk memberikan aksi terbaik bersama Pearly dalam acara beregu wanita dan halangan sulung mereka ialah berdepan Sararat Chueboca-suphapich Silprakob dari Thailand di pusingan kedua selepas mendapat bye di pusingan pertama.

“Bagi acara beregu campuran pula saya akan berganding­an bersama Choong Hon Jian dan menanti kami di pusingan pertama esok ialah Chamath Dias-dilmi Dias dari Sri Lanka.

“Bagaimanap­un cabaran terbesar kami ialah di pusingan kedua menentang pilihan ketujuh dari China, Shang Yichen-li Yijing.

“Saya berharap mampu mara sehingga ke separuh akhir dalam acara beregu wanita, sekali gus memperbaik­i pencapaian tahun lalu apabila kami terkandas di suku akhir,” kata Ee Wei.

Pencapaian terbaik Ee Wei-pearly tahun ini ialah muncul juara Terbuka Remaja Belanda Mac lalu, selain naib juara di Cabaran Antarabang­sa Remaja Thailand.

Tahun lalu, pemain perseorang­an lelaki negara, Leong Jun Hao muncul juara bagi acara perseorang­an lelaki manakala dua lagi gangsa disumbangk­an Eoon Qi Xuan (perseorang­an wanita) dan Chia Wei Jie-ng Tze Yong (beregu lelaki).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia