Hasil negeri meningkat 16 peratus
Petra Jaya: Pendapatan Sarawak merekodkan peningkatan 16 peratus, dengan jumlah RM6.86 bilion tahun lalu berbanding RM5.9 bilion tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata peningkatan RM954 juta perolehan pendapatan itu didorong pembayaran dividen hasil pelaburan, pampasan tunai ‘in lieu’ hak gas dan minyak dan cukai jualan minyak sawit mentah.
“Selain itu, perbelanjaan biasa tahun lalu adalah berjumlah RM5.81 bilion. Daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM2.31 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi, manakala RM3.5 bilion diperuntukkan dalam Akaun Dana Pembangunan.
“Bagi tempoh sama, perbelanjaan operasi meningkat kepada RM47 juta atau dua peratus, berbanding pada kadar RM2.26 bilion pada 2016,” katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.
Soon Koh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan berkata, tahun lalu kerajaan negeri membelanjakan RM4.28 bilion bagi perbelanjaan pembangunan atau peningkatan RM370 juta, berbanding RM3.91 bilion pada tahun sebelumnya.
Yakin lebih tinggi
“Pendapatan kerajaan negeri bagi separuh pertama tahun ini berjumlah RM3.26 bilion atau membabitkan 59 peratus daripada anggaran pendapatan, iaitu berjumlah RM5.52 bilion.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri yakin, pendapatan mampu meningkat lebih tinggi berdasarkan prestasi ekonomi semasa,” katanya.