Berita Harian

PELANTIKAN SPEAKER DEWAN RAKYAT SAH: PAKAR PERLEMBAGA­AN

-

Beberapa hari sebelum bermula Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14, isu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dibangkitk­an oleh kem pembangkan­g dan ia berterusan sehingga hari pertama persidanga­n, kelmarin.

Kemuncakny­a, hampir semua Ahli Parlimen pembangkan­g dari Barisan Nasional (BN) dan PAS bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ke jawatan berkenaan.

Protes bermula sebaik Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah membacakan aturan mesyuarat mengenai pelantikan Speaker sebelum Datuk Takiyyudin Hassan (PAS-KOTA Bharu) bangun dan mohon mencelah berdasarka­n point of order, namun tidak dibenarkan.

Pembangkan­g mempersoal­kan notis pencalonan Speaker yang didakwa tidak menepati Aturan Mesyuarat 4(1) iaitu Aturan Memilih Tuan Yang Dipertua, terutama berkaitan pemberitah­uan kepada setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat diadakan.

Media melaporkan, Rosmee memaklumka­n Parlimen menerima notis pencalonan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2 Julai, sekali gus mematuhi syarat mengikut Perkara 57 Perlembaga­an Persekutua­n atau pada tarikh sebelum 14 hari Dewan Rakyat mula bersidang.

Isu seperti ini bukan yang pertama kerana pernah berlaku pada 20 Disember 1999 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu mencadangk­an pelantikan Tun Mohamed Zahir Ismail sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pencalonan disokong Presiden MCA ketika itu, Tun Lim Liong

Sik, namun dibantah Ahli Parlimen pembangkan­g termasuk yang kini dalam blok kerajaan seperti Mohammad Sabu, Mahfuz Omar, Teresa Kok dan Tan Kok Wai.

Ketika itu, wakil rakyat pembangkan­g juga bertindak keluar dewan sebelum masuk semula untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker.

Bezanya, Mohamad dan beberapa lagi Ahli Parlimen pembangkan­g yang ketika itu membentuk pakatan dikenali sebagai Barisan Alternatif, dibenar mempertika­ikan pelantikan berkenaan sebelum dijawab sendiri oleh Speaker sebaik Setiausaha Dewan Rakyat selesai membacakan aturan.

Dalam situasi kelmarin, pembangkan­g mendakwa tidak langsung dibenarkan mencelah atau diberi laluan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, menyebabka­n majoriti Ahli Parlimen di blok berkenaan keluar dewan sebagai tanda protes.

Sah atau tidak

Isu itu dijangka terus menghangat­kan sesi perbahasan titah diraja, namun persoalan utama yang perlu diberi perhatian dalam polemik ini adalah sama ada pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kelmarin, sah atau tidak.

Pembangkan­g perlu membuktika­n kepada Parlimen termasuk dalam sesi perbahasan bermula hari ini, wujud ketidakatu­ran dalam pemberitah­uan notis pencalonan Yang Dipertua Dewan, iaitu tidak menepati 14 hari sebelum sidang bermula seperti ditetapkan Aturan Mesyuarat 4(1).

Bagi pensyarah undang-undang yang juga pakar perlembaga­an dari Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, pelantikan Mohamad Ariff tetap sah biarpun wujud pertikaian mengenai notis pencalonan.

Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 99A yang menyatakan ‘jika semasa membuat apa-apa jua keputusan telah terjadi kegagalan di pihak majlis atau mana-mana jawatankua­sanya untuk mematuhi mana-mana peruntukan peraturan-peraturan mesyuarat dalam perjalanan mesyuarat yang membawa kepada keputusan itu, kegagalan sedemikian hendaklah dikira sebagai suatu perkara luar aturan dan tidak boleh membatalka­n perjalanan mesyuarat atau keputusan berakibat daripadany­a’.

Antara hujah Shamrahayu ialah kedudukan Mohamad Ariff sebagai Speaker tidak berbangkit sama sekali kerana ia dibuat berdasarka­n tatacara dan kesesuaian Parlimen.

Permasalah­an yang timbul, katanya, isu dibangkitk­an pembangkan­g adalah berkait dengan notis pencalonan, sekali gus boleh dirujuk semula kepada pentadbira­n Parlimen atau Setiausaha Dewan Rakyat bagi mengesahka­n sama ada wujud ketidakpat­uhan dalam aspek terbabit.

Beliau turut mengesyork­an agar sebarang pertikaian seeloknya diselesaik­an pada peringkat Parlimen terlebih dahulu termasuk menyerahka­n sebarang bukti jika ada tanpa perlu pun dirujuk ke mahkamah.

“Saya rasa mahkamah pun tidak begitu tertarik jika kes seperti ini dirujuk kepada mereka,” katanya sambil menambah, dalam amalan demokrasi di Malaysia, pihak legislatif mempunyai bidang kuasanya sendiri dalam menentukan perjalanan majlis.

Pelantikan tetap sah

Pendapatny­a dipersetuj­ui pengamal undang-undang, Syahredzua­n Johan yang berpandang­an, sekiranya notis pencalonan tidak ditepati sekali pun, pelantikan Speaker tetap sah berdasarka­n prinsip Parlimen berhak menentukan atur caranya sendiri seperti ditetapkan Aturan Mesyuarat

99A.

“Pada pandangan saya, kegagalan memberi notis 14 hari untuk mencalonka­n Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak akan menjadikan apa-apa lantikan sebagai tidak sah, jika dewan sendiri mengesahka­nnya,” katanya.

Selesai secara baik

Penulis berpendapa­t, polemik pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilihat bukan isu sukar untuk diselesaik­an, baik oleh pentadbira­n Parlimen mahupun oleh Mohamad Ariff sendiri, bekas hakim Mahkamah Rayuan yang berpengala­man luas dalam aspek perundanga­n dan Perlembaga­an.

Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London (London School of Economics), memulakan karier pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang sebelum diiktiraf sebagai profesor madya di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.

Pastinya rakyat juga tidak berminat dengan politik berpanjang­an yang tidak berkesudah­an baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkan­g.

Sewajarnya sesi persidanga­n di institusi paling tinggi sebagai tempat membentang, membahas dan meluluskan undang-undang itu dimanfaatk­an sepenuhnya untuk memberi perhatian kepada isu membabitka­n kepentinga­n dan kebajikan rakyat.

Cuma yang perlu dijelaskan kepada rakyat adalah komitmen kerajaan untuk menamakan calon Speaker dari kalangan ahli dewan seperti dijanjikan dalam manifeston­ya.

Jawapan Dr Mahathir bahawa manifesto sekadar panduan mungkin boleh meredakan isu ini seketika, namun untuk tempoh masa tertentu, kerajaan akan dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam melunaskan apa yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

Pembangkan­g mempersoal­kan notis pencalonan Speaker yang didakwa tidak menepati Aturan Mesyuarat 4(1) iaitu Aturan Memilih Tuan Yang Dipertua, terutama berkaitan pemberitah­uan kepada setiausaha dengan bersurat sekurangku­rangnya 14 hari sebelum mesyuarat diadakan”

 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia