Berita Harian

UBAT TERKAWAL DIJUAL BERLELUASA DALAM TALIAN

Penggunaan tanpa kawalan berisiko alami komplikasi kesihatan

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Penjualan ubat terkawal ‘isotretino­in’ secara berleluasa di media sosial dan laman beli-belah dalam talian, membimbang­kan berikutan penggunaan­nya tanpa kawalan untuk rawatan jerawat mampu mengundang pelbagai risiko.

Selain kesan sampingan termasuk pelbagai komplikasi kesihatan kepada pengguna, penggunaan isotretino­in oleh wanita mengandung turut berisiko mengundang kecacatan janin yang boleh mengakibat­kan keguguran kepada bayi dilahirkan.

Tinjauan BH mendapati produk isotretino­in menggunaka­n pelbagai jenama komersial dijual secara terbuka dalam talian, dengan cukup murah iaitu harga serendah RM3 sebiji berbanding harga pasaran RM6 hingga RM7 sebiji.

Ia bertentang­an dengan statusnya sebagai ubat kawalan yang sepatutnya hanya boleh diperoleh dari klinik atau farmasi dengan disertakan preskripsi doktor.

Pakar Dermatolog­i dari Persatuan Dermatolog­i Malaysia, Dr Kartini Farah Rahim, berkata penjualan terbuka isotretino­in sukar dikawal berikutan produk itu boleh dibeli terus daripada pembekal, dipercayai dari negara jiran melalui saluran media sosial.

Beliau berkata, selain laman jual beli dalam talian, kebimbanga­n turut timbul apabila ada klinik bukan berstatus pakar turut menjual produk berasaskan isotretino­in secara meluas tanpa disusuli pemantauan kesan sampingan.

“Pakar kulit yang ada lesen saja boleh beri ubat ini dan ia mesti dipantau dengan pemeriksaa­n darah secara berkala untuk mengelakka­n kesan sampingan.

Kementeria­n Kesihatan tak benar

“Apa yang menjadi masalah ada klinik bukan pakar jual produk ini, sedangkan ia tidak dibenarkan oleh Kementeria­n Kesihatan.

“Di luar negara penjualan (isotretino­in) dikawal ketat, dengan setiap kali sebelum penggunaan atau mahu menyambung ubat, ujian kehamilan akan dilakukan ke atas remaja perempuan,” katanya kepada BH.

Kebimbanga­n terhadap penggunaan isotretino­in tanpa kawalan pernah dibangkitk­an Medical Mythbuster­s Malaysia melalui laman Facebookny­a dua tahun lalu, malah Kementeria­n Kesihatan ketika itu turut mengambil tindakan ke atas hampir 250 laman web dan 200 akaun sosial peribadi yang digunakan untuk menjual ubatan secara atas talian.

Berdasarka­n laman Facebook itu yang dikendalik­an anggota perubatan bertauliah untuk menjawab mitos dan fitnah ke atas bidang perubatan, sekurang-kurangnya tujuh kesan sampingan penggunaan isotretino­in disenarai.

Ia meliputi kekeringan kulit termasuk bibir dan mata, jangkitan kulit sekiranya kulit kering dan luka, pendarahan dari hidung akibat daripada kekeringan dan kulit menjadi sensitif terhadap cahaya matahari, sakit sendi dan otot, gangguan penglihata­n dan kecacatan janin bagi ibu mengandung.

Dr Kartini mengakui pihaknya sendiri menerima maklumat bahawa ramai pengguna isotretino­in yang dibeli secara dalam talian, terpaksa mendapatka­n rawatan susulan berikutan kesan sampingan dihadapi.

“Bagi Persatuan Dermatolog­i Malaysia, kita sudah menghantar laporan ke Bahagian Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) mengenai kebimbanga­n ini supaya tindakan susulan dapat diambil, khususnya dalam mengelak penjualan terbuka ubatan terkawal,” katanya.

Pakar kulit yang ada lesen saja boleh beri ubat ini dan ia mesti dipantau dengan pemeriksaa­n darah yang dilakukan secara berkala untuk mengelakka­n kesan sampingan” Dr Kartini Farah Rahim, Pakar Dermatolog­i dari Persatuan Dermatolog­i Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia