Berita Harian

RM110B bukan harga tender projek HSR: Azmin

Jumlah diperoleh berdasarka­n pengiraan kos

-

Projek Rel Berkelajua­n Tinggi (HSR) yang dianggarka­n bernilai RM110 bilion bukan harga tender, sebaliknya diperoleh berdasarka­n pengiraan kos.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah itu diperoleh selepas pihaknya membuat pengiraan dengan Kementeria­n Kewangan.

Beliau berkata, pentadbira­n kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak telus kerana menyembuny­ikan kos tertentu, kononnya jumlah pembinaan HSR adalah lebih rendah daripada RM110 bilion.

“(RM110 bilion) diperoleh berdasarka­n satu pengiraan kos, itu bukan harga tender bagi projek berkenaan, (tetapi) selepas pengiraan dibuat bersama dengan MOF (Kementeria­n Kewangan) pada peringkat ini.

“Kos pengiraan awal mengenai projek dicadangka­n sudah tentu dalam proses tender biasa, mana-mana pembidaan dibuat secara tender terbuka ia akan melalui penjimatan.

“Sebab itu, daripada awal prinsip Pakatan Harapan (PH) mendesak kepimpinan terdahulu yang dipimpin Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Razak) supaya semua projek mesti dibuat secara tender terbuka,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Tender belum diputuskan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Najib Razak (Bn-pekan) yang bertanya bagaimana jumlah RM110 bilion boleh diperoleh walhal tender projek HSR masih belum diputuskan oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Mohamed Azmin turut mempersoal­kan tindakan Najib yang bersungguh-sungguh menekan kerajaan supaya mengamalka­n prinsip tender terbuka selepas bergelar pembangkan­g.

Menjawab soalan Najib mengenai pendedahan kajian impak projek HSR, Mohamed Azmin berkata, PH sejak dulu lagi mengamalka­n budaya ‘mendedah’ kebenaran kepada rakyat.

“Itu prinsip PH sejak awal dulu. Mana-mana laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), ...kita akan dedahkan supaya rakyat tahu.

“Saya nyatakan sekali lagi, kerajaan akan memutuskan projek ini atas nasihat Peguam Negara (Tommy Thomas) supaya perkara ini dibincangk­an terlebih dahulu.

“Perbincang­an itu meliputi terma yang terkandung bagi membolehka­n kita semak semula kebolehlak­sanaan projek ini supaya ia tidak membebanka­n rakyat. Ini menjadi prinsip PH,” katanya.

Teliti tarikh sesuai

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Azmin berkata, Malaysia dan Singapura sedang meneliti tarikh sesuai yang dipersetuj­ui bersama untuk mengadakan mesyuarat rasmi mengenai HSR.

Katanya, berdasarka­n permohonan republik itu kepada Wisma Putra, mesyuarat dicadang diadakan sebelum akhir bulan ini.

“Saya sendiri akan ke Singapura namun tarikhnya belum ditentukan lagi. Kita perlu menentukan tarikh yang dipersetuj­ui kedua-dua negara kerana kita perlu hormati Singapura sebagai rakan strategik negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, mana-mana pihak (Malaysia atau Singapura) boleh membatalka­n perjanjian itu tetapi ada syarat dan terma yang perlu dipatuhi.

“Malaysia akan melihat kepada penyelesai­an terbaik supaya keputusan yang diambil kelak tidak akan menjejaska­n hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

 ?? [FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI /BH] ?? Mohamed Azmin pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
[FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI /BH] Mohamed Azmin pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia