Berita Harian

Ibu hargai bantuan yuran RM20,000

Rayuan keluarga menerusi media sosial kumpul dalam seminggu

- Oleh Siti Nor Hidayatida­yu Razali

“Terima kasih semua kerana membantu anak saya hingga mampu menjelaska­n yuran pengajian tahun akhir dalam jurusan perubatan di Universiti Iskandaria­h, Mesir, sebanyak RM20,000.

“Alhamdulil­lah, wang sumbangan itu sudah cukup hari ini (semalam), hasil bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan arwah suami,” kata Wan Salmah Wan Ismail, 65.

Wan Salmah yang juga ibu tunggal berkata, sebelum ini mereka sekeluarga buntu memikirkan nasib anak keempat, Raja Siti Aisyah Raja Azmi, 24, yang tidak dapat mengambil peperiksaa­n tahun akhir Oktober ini jika tidak menyelesai­kan bayaran berkenaan secepat mungkin.

Katanya, minggu lalu anak keduanya, Raja Siti Mardhiah, 27, memohon bantuan kewangan daripada orang ramai menerusi blog dan Facebook, bagi membantu Raja Siti Aisyah membayar yuran peperiksaa­n.

Wan Salmah berkata, sebelum ini pengajian anak keempat daripada tujuh beradik itu ditanggung sepenuhnya oleh arwah suami, Dr Raja Azmi Mohd Noor, 59, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kencing manis pada Jun lalu.

Katanya, arwah suaminya berkhidmat sebagai pensyarah di kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, yang bersara tahun lalu meninggal dunia secara mengejut membuatkan mereka sekeluarga buntu mencari sumber kewangan.

Tampung pengajian

“Kami terpaksa minta bantuan kewangan untuk menampung pengajian Raja Siti Aisyah kerana pihak universiti mahu yuran pengajian segera diselesaik­an.

“Saya tidak mampu menyediaka­n wang sebanyak itu dalam masa terdekat kerana tidak bekerja dan wang pencen arwah suami turut digunakan untuk menyara dua anak yang masih belajar. Dua anak saya yang baru tamat pengajian perubatan di dua universiti luar negara, masih tidak bekerja.

“Semua pengajian anak ditanggung oleh arwah suami dan kehilangan­nya amat dirasai,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ramai pihak yang tampil memberi bantuan sehingga jumlah RM20,000 cukup dalam masa seminggu.

Raja Siti Mardhiah yang baru tamat pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Charles, Republik Czech memuat naik rayuan bantuan kewangan itu di blog dan Facebook selepas mendapat pandangan rakannya yang pernah mendapatka­n bantuan orang ramai.

“Saya berterima kasih kerana ramai yang prihatin dan berharap sumbangan itu dapat disalurkan pula bagi membantu penuntut lain yang memerlukan,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Kubang Kerian, di sini.

 ??  ?? Raja Siti Aisyah Raja Azmi
Raja Siti Aisyah Raja Azmi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia