Berita Harian

Rujuk pakar London isu manifesto PRU-14

Tuntut janji pilihan raya dalam 100 hari ditunaikan

- Oleh Nor Farhani Che Ad

Pemantau Malaysia Baharu sedang mengkaji dari aspek undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas kerajaan sekiranya tidak mampu melaksanak­an manifesto yang dijanjikan.

Presidenny­a, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak bercadang untuk menunaikan 60 manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti yang dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita yakin beliau (Mahathir) tidak akan tunai janji mereka sebab Tun Dr Mahathir pernah jadi Perdana Menteri.

“Orang pernah jadi Perdana Menteri, beliau tahu serba sedikit berapa kos melaksanak­an sesuatu janji itu dan ketika Pakatan Harapan mengeluark­an janji, dua tiga hari selepas itu beliau mengatakan bahawa janji itu tidak realistik.

“Malah, mereka terus membuat penjimatan dalam perkara tak sepatutnya dijimatkan seperti memotong gaji dan jumlah kakitangan awam dan cuba menstruktu­rkan semula beberapa jabatan kerajaan yang dikatakan untuk menjimatka­n kos dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Pelancaran Pemantau Malaysia Baru Peringkat Daerah Kuala Muda di Taman Sejati Indah, di sini, semalam.

Lokman berkata, pihaknya sedang mencari kaedah dengan merujuk pakar di London untuk menentukan sama ada kerajaan sedia ada boleh diisytihar­kan sebagai tidak sah sekiranya tidak mampu menunaikan janji mereka.

Lihat sistem perundanga­n UK

“Kita bukan buat di London tetapi kita cuba nak tengok dari segi sistem perundanga­n di United Kingdom (UK) sebab kita mempunyai sistem perundanga­n yang diwarisi daripada British,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggelark­an UMNO kini sebagai ‘anak dara sunti’ kerana dilihat akan diminta untuk bekerjasam­a dan bergabung dengan parti lain berikutan kekalutan yang wujud dalam PH hari ini.

“Saya percaya dalam konteks politik hari ini, masing-masing ingin mencari kekuatan untuk terus menguasai dua pertiga kerusi dalam Parlimen.

“UMNO ibarat ‘anak dara sunti’ yang tidak mustahil bila-bila masa akan ‘dipinang’ oleh mana-mana parti untuk memastikan kemenangan, namun jika diberi pilihan, masa depan UMNO dilihat lebih cerah sekiranya bergabung dengan PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding parti lain,” katanya.

Katanya, beliau tidak kisah jika UMNO membuat pusingan U, iaitu bergabung dengan PKR jika tindakan itu mampu menyelamat­kan agama Islam, bangsa dan kedudukan bahasa Melayu serta dapat mempertaha­nkan kedudukan Raja Melayu.

 ?? [FOTO NOR FARHANI CHE AD/BH] ?? Lokman (enam dari kanan) bersama ahli pada Majlis Pelancaran Pemantau Malaysia Baharu Peringkat Daerah Kuala Muda di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, semalam.
[FOTO NOR FARHANI CHE AD/BH] Lokman (enam dari kanan) bersama ahli pada Majlis Pelancaran Pemantau Malaysia Baharu Peringkat Daerah Kuala Muda di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia