Berita Harian

Azmin belum buat keputusan

Timbalan Presiden mahu tumpu sesi Parlimen

- Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Fahmy Azril Rosli

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau belum membuat keputusan untuk bertanding atau tidak jawatan tertinggi PKR pada pemilihan parti itu bulan depan.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainy­a selepas selesai dengan tugasnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada Sidang Parlimen yang sedang berlangsun­g sekarang.

“Ketika ini saya ingin memberi tumpuan kepada sesi Parlimen dan ia perlu menjadi keutamaan. Ini adalah sesi pertama kami dan pastinya banyak persoalan yang akan dibangkitk­an.

“Kewajipan saya adalah menyediaka­n jawapan kepada soalan-soalan itu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, semalam.

NSTP sebelum ini melaporkan PKR dilanda dilema menjelang pemilihann­ya pada Ogos depan apabila wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan Presiden.

Mahu Azizah kekal

Satu pihak mahu Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikekalkan, manakala satu lagi mahukan Dr Wan Azizah berundur dan memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai persediaan menggantik­an Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanap­un, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman mengesahka­n Mohamed Azmin tidak akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan Presiden PKR.

“Ya (Azmin tidak akan bertanding) sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden PKR.

“Saya cukup pasti Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) akan menjadi orang di belakang beliau (Anwar) yang akan sentiasa bersama beliau (Anwar) untuk menerajui PKR,” katanya di temui di lobi Parlimen.

Mengulas bagaimana nama Mohamed Azmin muncul sebagai calon Presiden PKR, Muhammad Hilman berkata itu adalah perkara biasa dalam mana-mana pemilihan parti.

Katanya, dalam PKR sendiri, beliau mengambil kira sebagai parti yang mengamalka­n demokrasi dan keterbukaa­n.

Kesetiaan kepada parti

“Cuma dalam hal ini, saya kira apa yang sudah dizahirkan oleh Datuk Seri Azmin selama ini.

“Kesetiaan beliau kepada perjuangan PKR dan kesetiaan kepada Datuk Seri Anwar tiada taranya dan tidak boleh dipertikai­kan.

“Dalam hal ini, saya kira selepas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Presiden PKR, saya pasti Datuk Azmin menyambut baik kenyataan itu,” katanya.

Mohammad Hilman juga yakin Azmin akan menawarkan diri sekali untuk mempertaha­nkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Gandingan Anwar dan Azmin, katanya adalah sebuah kombinasi yang mantap dan boleh dikatakan sukar ditewaskan.

Anwar dilapor menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu bulan depan.

Dalam perkembang­an sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata beliau menyokong penuh pendirian bapanya yang ingin bertanding jawatan Presiden.

“Sudah tiba masanya Anwar Ibrahim kembali aktif dalam politik dan memegang jawatan penting dalam parti.

“Ini kerana sebelum ini, Ketua Umum PKR itu telah dinafikan haknya (untuk aktif berpolitik) oleh kerajaan terdahulu.

“Keadilan itu juga perlu diberikan sama rata kepada semua pihak, termasuk bekas Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menerima nasib sama,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia