Berita Harian

Hasrat Anwar tanding jawatan Presiden PKR disokong

-

Seremban: PKR Negeri Sembilan menyokong hasrat Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti hujung bulan depan.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar, berkata pihaknya yakin Anwar layak memegang jawatan berkenaan berdasarka­n pengalaman yang luas dalam arena politik tempatan dan antarabang­sa, selain jasa serta pengorbana­n kepada parti, rakyat dan negara.

“Dengan perubahan landskap politik hari ini, PKR Negeri Sembilan percaya beliau dapat memberikan impak dan anjakan paradigma yang jauh lebih besar dalam membentuk suasana serta dimensi baharu politik negara.

“Kita yakin Datuk Seri Anwar mampu memperkasa­kan keutuhan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi apa saja cabaran perjuangan, seterusnya membawa parti ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati oleh kawan serta lawan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahad lalu, Anwar mengumumka­n menawar diri bertanding jawatan presiden selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta barisan pimpinan yang lain.

Ambil kira pandangan semua

Anwar dilaporkan berkata, keputusan bertanding jawatan presiden itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta akar umbi yang mahukannya menggantik­an Dr Wan Azizah.

Di Georgetown, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, berkata PKR negeri turut menyambut baik dan menyokong penuh keputusan Anwar itu.

Katanya, ahli PKR sudah lama menunggu Anwar kembali mengemudi parti dan seterusnya memimpin negara kerana kepimpinan­nya diyakini boleh memantapka­n parti bagi menghadapi cabaran dalaman mahupun luaran.

“Sepanjang tempoh 20 tahun PKR berada di persada politik negara kami berjaya menyuburka­n benih demokrasi dalam negara. Ini terbukti apabila parti lawan iaitu UMNO telah keluar daripada amalan tradisi yang tidak membenarka­n pertanding­an jawatan tertinggi parti.

“Tetapi hari ini jawatan presiden, timbalan presiden serta naib presiden dipertandi­ngkan secara terbuka dan boleh dicabar oleh sesiapa saja. Justeru dengan semangat Malaysia Baharu, kami di PKR tidak boleh terlepas daripada merayakan pesta demokrasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Mansor berkata PKR Pulau Pinang turut mengucapka­n terima kasih kepada Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin yang mengemudi parti dengan cemerlang sehingga memperoleh kemenangan besar dan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia