Berita Harian

Macau Scam guna taktik ada tunggakan PERKESO

Pesara kerajaan rugi RM85,246 jadi mangsa sindiket

- Oleh Shahrinnah­ar Latib

Sindiket Macau Scam dikesan menggunaka­n taktik baharu dengan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan caruman Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) sehingga mengakibat­kan seorang pesara kerajaan kerugian RM85,246.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 58 tahun yang berada di rumahnya di Temerloh menerima panggilan daripada suspek yang memperkena­lkan diri sebagai Dheenakara­n Murugan dari Unit Semakan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan caruman PERKESO sebanyak RM17,600.76.

“Semakan yang dibuat juga mendapati mangsa mempunyai syarikat Gold Shining Sdn Bhd didaftarka­n di Sungai Petani, Kedah. Talian berkenaan kemudian disambungk­an ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan mangsa bercakap dengan Sarjan Nizam.

“Sarjan Nizam mendakwa mangsa perlu membuat beberapa transaksi bagi menyelesai­kan semua kes atas namanya. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberi kata laluan perbankan internet dan nombor TAC kepada lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati membuat semakan dan mendapati terdapat beberapa transaksi pindahan wang berlaku di akaun RHB dan CIMB miliknya, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, kelmarin.

Jururawat turut jadi mangsa

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang jururawat berusia 27 tahun kerugian RM15,950, juga diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis di sini, kelmarin.

Beliau berkata, wanita itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada RHB Langkawi yang mendakwa mangsa ada membuat pinjaman wang berjumlah RM50,000.

“Mangsa menafikann­ya sebelum disambungk­an ke IPK Kedah. Mangsa kemudian bercakap dengan Sarjan Chia Kim dan pada masa yang sama suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan dadah.

“Mangsa diminta untuk memasukkan wang jika tidak mahu ditangkap. Pada hari sama, wanita itu memasukkan wang berjumlah RM15,950 ke dalam akaun Bank Rakyat suspek.

“Selepas memasukkan duit, suspek terus mematikan talian telefon. Mangsa kemudian membuat laporan di IPD Kuantan pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sarjan Nizam mendakwa mangsa perlu membuat beberapa transaksi bagi menyelesai­kan semua kes atas namanya. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberi kata laluan perbankan internet dan nombor TAC kepada lelaki berkenaan” Mohd Wazir Mohd Yusof, Ketua JSJK Pahang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia