Berita Harian

Usaha kembalikan keyakinan sasterawan terhadap DBP

-

Kuala Lumpur: Usaha Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mengangkat dan memperkasa­kan sastera dapat mengembali­kan keyakinan khalayak sasterawan serta pengarang kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, berkata usaha membawa kembali SN Datuk Seri A Samad Said ke DBP sebagai langkah simbolik supaya tokoh itu dapat melupakan episod duka yang sudah lama berpanjang­an.

“Memang diakui, DBP penerbit terkemuka, tetapi disebabkan terikat dengan peraturan lama menjadikan agensi itu dilihat semakin hilang fungsinya. Jadi kekurangan itu perlu diperbaiki agar kembali relevan dalam mengangkat sastera di negara ini.

“Dengan kehadiran Pak Samad ke DBP dapat membantu dalam memberi nasihat dan idea bernas terhadap pembaharua­n yang mahu dibawa Menteri Pendidikan,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Kelmarin, Maszlee berkata, Kementeria­n Pendidikan berjanji akan memastikan nasib semua SN yang tidak dibela oleh kerajaan dahulu diberi perhatian sepenuhnya, selain membawa A Samad kembali ke DBP dan mempromosi karyanya.

SN patut diberi perhatian

A Samad turut meminta manamana SN dilayani dengan baik dan patut diberi perhatian tanpa mengira sikap serta ideologi kerana sastera bersifat neutral dan patut diberi perhatian kerana ia ‘menangkap’ apa saja bergerak dalam masyarakat.

Anwar berkata, pembaharua­n itu perlu disahut DBP dengan mengambiln­ya sebagai cabaran agar dapat bergerak seiring dengan syarikat penerbitan swasta yang sedang berkembang pantas hingga pengarang sudah beralih kepada mereka.

Beliau berkata, dalam usaha memperkasa­kan sastera, SN dan pengarang perlu bergerak seiring dengan terus menghasilk­an karya bermutu serta memberikan kritikan membina menerusi hasil karya dan tulisan.

Pada masa sama, Anwar berharap kerajaan membuat pelaburan melahirkan lebih ramai penulis muda yang menjadi aset kepada perkembang­an sastera.

“Di negara maju, sastera diangkat sebagai jiwa dan pencapaian bahasa tinggi kerana dihasilkan dalam bahasa indah. Sastera sepatutnya diberi ruang sama seperti bidang sains di negara ini kerana kesusaster­aan menggambar­kan budaya bangsa sesebuah negara.

“Jika kerajaan banyak melabur dalam sukan untuk menghasilk­an atlet yang dapat bersaing pada peringkat tertinggi, perancanga­n secara sistematik juga perlu dilakukan untuk membawa penulis muda ke peringkat antarabang­sa, selain usaha penterjema­han,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr Syed Husin Ali, berkata usaha membawa A Samad kembali ke DBP dapat meningkatk­an perkembang­an sastera, sekali gus menjadi permulaan terbaik yang patut diikuti dengan beberapa langkah yang lain.

“Seni sastera pada masa ini seolah-olah mengalami zaman mendung. Malah hampir tidak diajar sastera dan perkembang­annya di sekolah, manakala pelajar pula tidak mengenali sasterawan dan tidak menghayati karya klasik.

“Karya sasterawan seperti A Samad, Usman Awang, Keris Mas, A Samad Ismail dan Shahnon Ahmad seperti diketepika­n dalam sistem pendidikan kini.

“Bukan sahaja DBP, bahkan Institut Terjemahan & Buku Malaysia sekolah dan sistem pendidikan perlu diubah sikap serta peranannya dalam bidang ini,” katanya.

Kehadiran Pak Samad ke DBP dapat bantu dalam memberi nasihat dan idea bernas terhadap pembaharua­n mahu dibawa Menteri Pendidikan” Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia