Berita Harian

Ahli BERSATU diberi peluang pilih pemimpin

Kaedah pemilihan belum diperinci, tak lagi guna singkatan PPBM: Tun M

- Oleh Fahmy Azril Rosli dan Nur Lela Zulkipli

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan diberikan peluang terbabit dalam pemilihan pemimpin tertinggi parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU, berkata hasil mesyuarat petang semalam, parti itu bersetuju dengan kaedah pemilihan terbabit, namun mekanisme belum diperincik­an.

“Pilihan kita adalah memberi peluang kepada semua ahli dalam pemilihan pemimpin,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Kepemimpin­an Tertinggi Bersatu di Yayasan Selangor, semalam.

Bagaimanap­un, Dr Mahathir tidak mendedahka­n bila pemilihan parti itu diadakan sebaliknya perkara terbabit diputuskan kelak.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat parti itu juga memutuskan tidak lagi menggunaka­n singkatan PPBM, sebaliknya akan digantikan dengan BERSATU.

Ambil tindakan ahli sabotaj

Katanya, perkara itu hanya boleh diputuskan semalam, kerana pernah dihalang daripada menggunaka­n singkatan BERSATU oleh kerajaan terdahulu.

“Dulu, nama BERSATU tidak boleh digunakan kerana ada bantahan pihak berkuasa (terdahulu). Sekarang kita sudah ada kuasa, jadi boleh buat perubahan,” katanya.

Dr Mahathir juga memaklumka­n bahawa ahli PPBM yang terbabit dengan perbuatan mensabotaj parti itu sudah diambil tindakan tetapi tidak sampai ke tahap memecat mereka.

“Kita sudah ambil tindakan tatatertib kepada ahli yang menolong parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tidak perlu sebut siapa dan berapa ramai. Yang pasti mereka ini pernah mengadakan sidang media memburuk-burukkan parti,” katanya.

Dalam perkembang­an berasingan, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata lawatannya ke China pada Ogos ini akan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelabur dari negara itu.

Jemput pelabur China

“Saya akan menjemput syarikat China untuk melabur di Malaysia khusus bagi meningkatk­an produktivi­ti dengan menggunaka­n tenaga buruh dan sumber kita,” katanya.

Katanya, beliau juga akan mendapatka­n perkembang­an terkini apa yang sudah dilakukan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, dalam lawatannya ke negara itu.

“Beliau ada membangkit­kan beberapa perkara berhubung pemberian kontrak dan kenyataan bahawa Malaysia tidak mempunyai wang,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak boleh meminjam terlalu banyak wang dan beliau kini cuba untuk mengurangk­an jumlah pinjaman yang sudah dilakukan atau negara akan berdepan risiko muflis.

“Itu adalah perkara utama yang kita akan bincangkan semasa di China nanti,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat berhubung penahanan ahli perniagaan kontrovers­i, Jho Low di China.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Dr Mahathir bersama Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk kiri) Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (duduk kanan) dan ahli BERSATU pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, semalam.
[FOTO BERNAMA] Dr Mahathir bersama Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk kiri) Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (duduk kanan) dan ahli BERSATU pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia