Berita Harian

Kaji semula DEB, MEB

Dasar baharu lebih responsif kepada aspirasi rakyat bakal digubal

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim cnews@nstp.com.my

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) akan diteliti semula bagi mengkaji sama ada ia masih relevan atau sebaliknya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penjajaran semula dasar utama negara itu bagi memastikan pertumbuha­n ekonomi negara mapan dan berupaya menjamin pengagihan yang adil.

Sehubungan itu, katanya, dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarka­n keperluan dan hala tuju pembanguna­n sosioekono­mi negara.

“Susulan perubahan tampuk kerajaan pada 10 Mei lalu, penyediaan dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKE-11 dijajarkan semula dengan hala tuju baharu dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ia seperti terkandung dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan bagi memastikan hala tuju baharu diambil kira dalam perancanga­n dan strategi pembanguna­n bagi tempoh 2016-2020.

Pastikan usaha berhasil

“Penjajaran ini juga penting bagi menjamin segala usaha kerajaan benar-benar membawa hasil atau memberi faedah kepada rakyat tanpa berlaku ketirisan, penyelewen­gan, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PH-PKR Selayang), semalam.

Jee Keen meminta perincian kemungkina­n kerajaan akan mengkaji semula dasar utama dan rancangan pembanguna­n ekonomi sedia ada seperti DEB dan MEB.

Kerajaan memperkena­lkan DEB pada 1971 sehingga 1990 sebelum mewujudkan pula Dasar Pembanguna­n Nasional (DPN) bagi menyambung matlamat DEB yang belum tercapai.

Mohamed Azmin berkata, dokumen KSP RMKE-11: Hala Tuju Baharu, 2018-2020 akan menilai prestasi bagi tempoh dua tahun pertama pelan rancangan negara, iaitu bagi 2016-2017.

Katanya, ia juga bertujuan memperkena­l hala tuju baharu bagi tempoh 2018-2020, sejajar hasrat kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“RMKE-12 akan datang yang meliputi tempoh 2021-2025 mengandung­i hala tuju baharu dengan fokus dan strategi pembanguna­n yang lebih komprehens­if dan terperinci.

“Penyediaan RMKE-12 membabitka­n penilaian dasar sedia ada dan penggubala­n dasar baharu bagi pembanguna­n pelan ekonomi negara menyeluruh bagi memacu pembanguna­n negara pasca 2020,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden GERAKAN, Datuk Kohilan Pillay, berkata DEB dan MEB dianggap dasar yang lapuk dan tidak berjaya memajukan masyarakat, terutama orang Melayu dan Bumiputera yang memang perlu dilihat semula.

“Bagi saya, DEB tidak berjaya memajukan mana-mana kaum. Lebih baik, kerajaan dapat ketengah dan galakkan program yang dapat menaikkan taraf hidup kaum,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus dari PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Ghazali, berkata beliau menyokong usaha kerajaan untuk mengkaji semula dasar berkenaan.

Katanya, PAS pasti menyokong sepenuhnya jika dasar itu bertepatan dengan Islam dan memberi manfaat kepada orang Melayu.

“Kita bersedia memberi cadangan dan pandangan jika ia di bawa ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) berkata, kerajaan perlu menumpukan usaha memperkena­lkan dasar baharu, bukan melihat dasar lama yang sudah ada.

“Lihat dulu sama ada perlu diteliti semula atau hanya diperkasak­an dengan sentuh baharu,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia