Berita Harian

TEKANAN HIDUP, PERANGAI MURID PUNCA GURU TAK MAHU MENGAJAR DI BANDAR

Kos tinggi, tuntutan persekitar­an moden antara tekanan dihadapi pendidik

- Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar, Mahani Ishak dan Ilah Hafiz Aziz bhnews@bh.com.my

Guru di bandar besar bukan sahaja sengsara kerana terpaksa menangani kos sara hidup, sebaliknya turut mengalami tekanan akibat tuntutan persekitar­an moden, termasuk tekanan ibu bapa.

Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapa­t kos sara hidup menyumbang kepada penderitaa­n guru, walaupun kerajaan sudah mempunyai mekanisme mengurangk­an bebanan kos guru.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata contoh paling senang ialah bayaran pengasuh, iaitu sekitar RM350 ke RM400 bagi seorang anak dan ia bertambah jika guru itu mempunyai lebih ramai anak.

“Ini tidak termasuk lagi kos kerja lebih masa yang dituntut pengasuh atau kos pendidikan tambahan yang lain,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kelmarin yang mengatakan berlaku kekurangan guru di bandar besar kerana mereka memohon untuk mengajar di kampung halaman atau di kawasan lain yang kos hidup lebih rendah.

Sikap ibu bapa, disiplin

Huat Hock berkata, sikap ibu bapa, perangai dan masalah disiplin pelajar, kesesakan jalan raya, peningkata­n kerja serta kecemerlan­gan sekolah juga antara tekanan yang terpaksa ditanggung oleh guru yang berkhidmat di bandar besar.

Katanya, semua perkara itu perlu dihadapi guru hingga mereka tidak lagi berminat berkhidmat di bandar besar.

“Kos sara hidup mungkin satu alasan dinyatakan guru untuk mereka berpindah keluar, tetapi faktor gaya hidup moden masyarakat hari ini, sebenarnya menyumbang untuk mereka pulang ke kampung halaman atau ke lokasi yang tidak padat.

“Tekanan di bandar besar berbeza dengan kawasan lain, kerana isu seperti kesesakan jalan raya dan perangai murid sepatutnya tidak mempengaru­hi kualiti kerja seorang guru. Tetapi, kerana banyak tekanan lain, ia menjadi perhatian serius,” katanya.

Harry Tan berkata, sikap ibu bapa masa kini yang gemar menyalahka­n guru, termasuk berani mengheret guru ke mahkamah menyebabka­n pendidik berfikir panjang untuk berkhidmat di bandar besar.

Tuntut pendidikan berkualiti

“Itu belum lagi dengan ugutan di kumpulan Whatsapp dan viral di laman sosial yang menjadi kerisauan guru hari ini.

“Ia terjadi apabila ibu bapa hari ini menuntut pendidikan yang berkualiti daripada guru sehingga ke tahap menekan guru,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Shabudin Sani, berkata kerajaan perlu memberi elaun tambahan kepada guru yang berkhidmat di bandar besar sebagai penghormat­an kepada mereka yang berani menyahut cabaran mental, fizikal dan emosi.

“Insentif lain perlu diberi kepada guru yang sanggup berkhidmat di bandar besar kerana mereka berdepan dengan cabaran lebih besar dan terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi.

“Ia amat membantu bebanan dan tekanan harian guru sekali gus membantu mereka memberikan fokus ketika mengajar,” katanya.

Shabudin berkata, kerajaan juga harus tahu ramai guru yang bertugas di bandar besar termasuk yang sudah berkeluarg­a memilih untuk menyewa bilik atas faktor kos dan hanya pulang dua kali sebulan untuk bersama-sama keluarga mereka.

“Kebanyakan guru di Johor, Penang dan Kuala Lumpur membeli atau membina rumah di kampung halaman kerana kos sara hidup tinggi di bandar,” katanya.

Shabudin berkata, kerajaan perlu mengkaji dasar pengambila­n guru berdasarka­n keperluan semasa, malah latihan untuk guru opsyen kedua juga perlu dipertingk­atkan, agar mereka tidak terikat dengan satu mata pelajaran sahaja.

Kos sara hidup mungkin satu alasan dinyatakan guru untuk mereka berpindah keluar, tetapi faktor gaya hidup moden masyarakat hari ini, sebenarnya menyumbang untuk mereka pulang ke kampung halaman atau ke lokasi yang tidak padat” Harry Tan Huat Hock, Setiausaha Agung NUTP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia