Berita Harian

‘PAS TAKUT KALAH, TANGKIS DAKWAAN SOKONG CALON BN’

Keputusan isyarat jelas parti tidak mahu ada kaitan dengan gabungan pembangkan­g

- Oleh Dawn Chan PAS takut kalah kerjasama dengan UMNO - MUKA SEPULUH cnews@nstp.com.my

Baru tiga hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berlangsun­g, Barisan Nasional (BN) kelihatan berdepan halangan apabila PAS enggan menghulurk­an bantuan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata parti itu tidak akan membantu kempen calon BN, Datuk Lokman Noor Adam untuk merampas kerusi DUN itu daripada PKR.

Roslan berkata, walaupun PAS memberi laluan kepada BN bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis yang diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu, tetapi mereka tidak akan membantu kempen calon BN.

“PAS Selangor tidak berganjak kerana keputusan parti tidak meletakkan calon pada PRK itu dibuat atas persefaham­an bersama dengan BN dan ia tidak lebih daripada kerjasama sebagai blok pembangkan­g,” katanya di sini, semalam.

Ini bermakna rayuan Lokman untuk mendapatka­n bantuan daripada PAS tidak diendahkan, walaupun beliau tegas mahu bertemu pemimpin setempat parti itu di Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dilaporkan mahu berbincang dengan kepemimpin­an di bahagian dalam usahanya meyakinkan PAS untuk terbabit sama dengan jentera kempen BN.

Tak minat bergabung

Langkah PAS Selangor itu seperti menyatakan penyelesai­an aman yang ditawarkan parti itu hanya untuk membenarka­n BN bertanding pada PRK dan ia memberi isyarat jelas parti itu tidak berminat serta tidak mahu sebarang kaitan dengan gabungan pembangkan­g.

Tindakan PAS itu tidak memeranjat­kan pakar geostrateg­i, Prof Dr Azmi Hassan, yang menyifatka­n ia sebagai keputusan taktikal yang diambil pemimpin parti.

“PAS kelihatan yakin bahawa BN tidak saja akan kalah pada PRK itu, malah PAS juga yakin jumlah undi majoriti yang diperoleh penyandang (Mat Shuhaimi) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan meningkat pada PRK ini.

“Jadi, saya menganggap PAS mahu mengetepik­an sebarang dakwaan ia menyokong BN sepanjang kempen. Selepas PRK ini, PAS boleh secara selamat menyatakan mereka tidak terbabit secara langsung dan keputusan itu tidak akan diterjemah­kan kepada kemerosota­n sokongan pengundi kepada mereka,” katanya kepada NSTP.

Pada PRU-14, kerusi Sungai Kandis ditandingi empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertaha­nkan kerusi itu, mengalahka­n calon BN, Datuk Kamaruzzam­an Johari, Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Mat Shuhaimi memenangi 23,998 undi dengan majoriti 12,480, mengalahka­n Kamaruzzam­an yang memperoleh 11,518 undi. Mohd Yusof pula menerima 7,573 undi, manakala Hanafiah hanya mendapat 76 undi.

Saya menganggap PAS mahu mengetepik­an sebarang dakwaan ia menyokong BN sepanjang kempen. Selepas PRK ini, PAS boleh secara selamat menyatakan mereka tidak terbabit secara langsung dan keputusan itu tidak akan diterjemah­kan kepada kemerosota­n sokongan pengundi kepada mereka ” Azmi Hassan, Pakar geostrateg­i

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia