Berita Harian

Malaysia tak pasti Jepun beri pinjaman kadar rendah

Tindakan tidak jadikan kerajaan dibelenggu krisis mata wang: PM

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim cnews@nstp.com.my

Malaysia tidak pasti sama ada Jepun boleh memberikan kadar faedah pinjaman mudah serendah 0.7 peratus, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia ketika ini berharap pinjaman mudah dalam mata wang yen itu diberikan pada kadar rendah seperti yang pernah diluluskan sebelum ini.

“Kerajaan Malaysia pernah suatu ketika dahulu menerima tawaran pinjaman mudah ini daripada Kerajaan Jepun dengan kadar faedah 0.7 peratus dan tempoh bayaran balik selama 40 tahun.

“Kita tidak tahu sama ada Kerajaan Jepun boleh memberikan kadar faedah serendah itu lagi.

“Membayar balik hutang dengan yen bermakna kita tidak lagi dibebani dengan faedah tinggi, lebih 6 peratus (daripada) hutang asal,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BNUMNO Bagan Datuk) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Zahid meminta penjelasan kerajaan mengenai rasional mendapatka­n pinjaman kewangan dari Jepun yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi daripada ringgit walaupun memperuntu­kkan faedah berkadar rendah.

Kemungkina­n krisis mata wang tak berulang

Menjawab soalan tambahan Ahmad Zahid berhubung kemungkina­n Malaysia sekali lagi dibelenggu krisis mata wang negara seperti pada 1980-an dan 1990-an, susulan pengukuhan yen selepas Malaysia membuat pinjaman mudah dengan Jepun, Dr Mahathir berkata, kegusaran itu tidak timbul.

Beliau sebaliknya menjelaska­n kerajaan tidak dibelenggu krisis bebanan hutang sekitar 1980-an dan 1990-an selepas membuat pinjaman mudah yen dari Jepun.

Katanya, laporan tahunan prestasi kewangan negara menunjukka­n kadar hutang ketika itu adalah tidak lebih RM300 bilion atau hanya 27 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini boleh dilihat dalam laporan tahunan pada 1980-an dan 1990-an. Itu angka sebenar. Kalau boleh tunjuk angka berlainan, saya amat berterima kasih, bermakna saya tidak betul.

“Tetapi saya ada di situ selama 22 tahun, sedikit sebanyak tahulah angka pertumbuha­n, hutang dan kewangan negara. Kita tidak pernah hutang RM42 bilion sekali (pinjaman).

“Sekarang kadar hutang negara lebih RM1 trilion. Perkataan trilion sebelum ini saya tidak pernah dengar pun tetapi sekarang kita hutang lebih RM1 trilion.

“Kalau RM1 trilion itu kurang daripada RM300 bilion saya tidak tahulah,” katanya dalam nada sinis.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai pendirian sedemikian, kononnya Malaysia dibelenggu hutang kerana meminjam daripada Jepun supaya mengemukak­an bukti, berbanding hanya membuat tuduhan ‘liar’.

“Bagan Datuk (Ahmad Zahid) ada sebut beberapa angka, tapi tiada bukti bertulis, bentuk angka, tuduh kononnya hutang dahulu lebih banyak daripada sekarang,” katanya.

Penetapan siling hutang

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-bagan Serai) mengenai sasaran kerajaan dalam menetapkan siling hutang, Dr Mahathir menjelaska­n kadar yang dipersetuj­ui ketika ini ialah tidak lebih daripada 55 peratus daripada KDNK.

Katanya, penetapan itu turut terpakai kepada syarikat hak milik penuh kerajaan bagi memastikan bebanan kewangan yang mungkin tercetus daripada transaksi perniagaan berisiko tidak menimbulka­n masalah berbangkit pada masa akan datang.

“Kerajaan sendiri tidak boleh buat hutang lebih daripada 55 peratus (daripada KDNK), justeru ditubuhkan sebuah syarikat 100 peratus hak milik kerajaan.

“Syarikat ini berhutang lebih daripada siling kerana tidak tertakluk dengan garis panduan ditentukan kerajaan, natijahnya kita kini menanggung bebanan kewangan.

“Ada pula hutang dibuat tapi tidak dicatat, sebaliknya dimasukkan dalam kategori lain sehingga akhirnya tanggungja­wab menjelaska­n bebanan kewangan ini diambil alih oleh kerajaan.

“1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) umpamanya, hutang syarikat ini dipulangka­n balik kepada kerajaan dan ia antara faktor hutang kerajaan meningkat angkara ketidakpat­uhan dalam menepati siling hutang,” katanya.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Dr Mahathir meninggalk­an Sidang Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab di Bangunan Parlimen, semalam.
[FOTO BERNAMA] Dr Mahathir meninggalk­an Sidang Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab di Bangunan Parlimen, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia