Berita Harian

Kerajaan tambah baik akta taman asuhan

-

Bangi: Sebuah jawatankua­sa khas ditubuhkan bagi menambah baik Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang berkaitan dengan pengasuh kanak-kanak di rumah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata jawatankua­sa membabitka­n beberapa kementeria­n dan agensi berkaitan itu, antara lain akan melihat aspek pemantauan, khususnya kepada pihak yang menjalanka­n aktiviti mengasuh atau menjaga kanak-kanak di rumah.

“Memang kita ada kekangan untuk melakukan pemantauan kerana bidang kuasa yang ada merentasi kementeria­n.

“Kekangan dan kelompanga­n ini yang harus ditambah baik, diselaras dan difikirkan oleh jawatankua­sa khas berkenaan,” katanya mengulas sama ada kerajaan mempunyai perancanga­n dalam menangani hal berkaitan aktiviti asuhan kanak-kanak di rumah.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Tujuh Dekad Majlis Belia Malaysia di sini semalam, Dr Wan Azizah berkata, penambahba­ikan itu wajar merangkumi perkara siapa perlu bertanggun­gjawab sepenuhnya menguruska­n aktiviti berkenaan termasuk penyediaan panduan jika berlaku kejadian tidak diingini terhadap kanak-kanak yang diasuh.

Kajian menyeluruh

Beliau mengakui akta sedia ada mempunyai kelemahan dalam aspek undang-undang, khususnya terhadap individu yang menjalanka­n aktiviti asuhan di rumah.

Dr Wan Azizah berkata, penambahba­ikan itu turut mengambil kira kemungkina­n bayaran yang dikenakan menjadi lebih mahal sekiranya asuhan di rumah diinstitus­ikan.

“Kena ada kajian menyeluruh agar garis panduan atau piawaian standard dapat diwujudkan bagaimana perkara berbangkit boleh diatasi secara holistik,” katanya.

Keengganan pengusaha asuhan di rumah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang menjadi satu syarat wajib sebelum mengambil upah menjaga kanak-kanak juga perlu diberi perhatian oleh jawatankua­sa tersebut” Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia