Berita Harian

Kementeria­n adakan dialog bincang kes buli doktor pelatih

-

Kuala Lumpur: Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan dialog tertutup dengan doktor muda dan pegawai perubatan siswazah (PPS) bagi membincang­kan masalah buli dalam kalangan doktor pelatih di hospital seluruh negara.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dialog tertutup itu akan diadakan dengan kerjasama Jawatankua­sa Latihan Siswazah secara berperingk­at.

“Dialog ini juga akan membabitka­n pengarah kesihatan negeri, pegawai jabatan serta pegawai perubatan dan jika perlu saya sendiri akan turut sama.

“(Bila) sampai boleh jejaskan lebih 79 peratus doktor pelatih, junior dan PPS, saya rasa kita sangat perlu bertindak. Kita perlu berlaku adil dan mahu memahami sebenarnya apa yang telah mencetuska­n budaya ini berleluasa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.

80 peratus pernah dibuli

Beliau mengulas kaji selidik dijalankan sebuah forum doktor secara dalam talian, Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS) yang mendapati 80 peratus doktor muda di negara ini, mengaku pernah dibuli di tempat kerja.

Laporan sama turut disiarkan beberapa portal berita sehingga menyebabka­n doktor pelatih mengalami tekanan trauma serius.

BH awal bulan ini turut melaporkan kes seorang doktor pelatih di Hospital Ampang yang mahu dikenali sebagai James, mendakwa dibuli oleh seorang doktor pakar dengan pelbagai ancaman dan ugutan.

Mangsa mendakwa, situasi paling teruk dihadapi ialah doktor pakar terbabit mencekik leher bajunya di hadapan pegawai perubatan, jururawat dan pesakit, hanya disebabkan dia salah memberi jawapan kepada soalan diajukan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata beliau sudah mengarahka­n pengarah kesihatan negeri dan hospital serta ketua jabatan mengumpul data aduan kes buli di tempat masing-masing.

“Kita nak kenal pasti individu itu (pembuli) dan tindakan tegas perlu dilakukan. Memang sebelum ini kita sudah ada SOP (Prosedur Operasi Standard) menangani masalah ini tetapi ia tidak berkesan kerana mangsa buli takut untuk tampil mengadu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Azman Abu Bakar, mendakwa banyak ruang tersedia kepada doktor pelatih untuk mendapatka­n pertolonga­n, jika pernah menjadi mangsa buli di tempat kerja masing-masing.

“Saya percaya kita sudah mempunyai ruang yang mencukupi kepada doktor pelatih untuk merujuk sebagai kes buli yang berlaku di tempat mereka bertugas.

“Selain itu, ada perjumpaan berkala membabitka­n pengarah hospital dengan doktor pelatih untuk berbincang isu berbangkit sepanjang latihan. Malah pengarah kesihatan negeri juga patut meninjau keadaan doktor pelatih di hospital,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia