Berita Harian

Zawawi utama program eratkan kaum

-

Soalan (S):

Selain 72 peratus pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis, pengundi India kedua teramai di sini. Apa perancanga­n untuk mereka?

jawapan (J): Antara program yang menjadi keutamaan adalah mempererat­kan hubungan antara kaum. Saya dahulu pernah belajar di luar negara, berkawan dengan orang dari Yugoslavia. Ketika itu berlaku peperangan di Yugoslavia antara etnik Bosnia dan Serbia. Apa yang berlaku, mereka mengingatk­an kepada kami (pelajar dari Malaysia) supaya jaga hubungan antara kaum kerana kata mereka, “kami ada tiga kaum, tetapi akhirnya berperang dan berpecah sesama sendiri walaupun dahulu main bola bersama kerana prejudis dan prasangka.”

Selain daripada sukan sehingga kepada program santai makan ada banyak lagi program yang merapatkan jurang antara kaum ini supaya Sungai Kandis aman, kerana satu ketika dahulu kawasan ini pernah ada pergaduhan antara kaum.

S:

Apa isu lain yang dianggap penting?

J: Isu yang banyak diadukan di kawasan ini adalah banjir. Kerajaan sudah melaksanak­an banyak program antaranya menaik taraf jambatan yang menjadi punca air bertakung dan banjir kilat. Dahulu Jalan Kebun tidak pernah banjir, tetapi hari ini ekoran pembanguna­n pesat menyebabka­n air mudah naik dan tidak mengalir.

Jadi sistem longkang perlu diperbaiki dan saya berharap dengan kerajaan di Putrajaya ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) memudahkan kita untuk mendapatka­n peruntukan sewajarnya untuk menarik taraf infrastruk­tur di kawasan Sungai Kandis.

S:

Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada menyentuh mengenai pihak yang tidak terpilih menjadi calon PKR supaya tidak kecewa. Bagaimana Ustaz mahu memujuk pihak terbabit?

J: Dalam budaya Melayu (ada perumpamaa­n) apabila biduk berlalu, kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Justeru, dalam persaingan kepemimpin­an ini mungkin ada ke depan dan ada ke belakang. Banyak peranan dan fungsi sebenarnya dan tugas yang boleh diberikan kepada mereka ini. Insya-allah kita akan fikirkan apa peranan yang sesuai kepada mereka ini supaya sumbangan mereka dapat disalurkan kepada masyarakat. Pengalaman saya sebagai kaunselor berdaftar dan pernah melihat kes lebih parah. Saya akan menggunaka­n pengalaman ini untuk menyatukan mereka. Saya hubungi mereka, telefon mereka dan jemput mereka hadir sebagai tanda solidariti kepada pucuk pimpinan bahawa kami bersiap sedia untuk menang lebih besar.

S:

Bekas ADUN Sungai Kandis, Arwah Shuhaimi Shafiei terkenal sebagai wakil rakyat yang bekerja kuat di kawasan ini, bagaimana ustaz mahu berada pada tahap itu?

J: Saya mengenali YB Shuhaimi sejak beliau bertanding di DUN Seri Muda pada 2008. Saya sebagai pengundi di sini, saya melihat gerak kerja beliau pagi petang dan malam serta hujung minggu. Jika kami membuat program sama ada di masjid atau di lapangan kami menjemput, kalau tidak datang awal pun beliau mesti hadir untuk bertemu pengundi. Sejak PRU13 beliau banyak berkongsi ilmu politik dengan saya dan memujuk saya menceburi politik supaya peranan saya boleh dimanfaatk­an lebih jauh lagi. Yang terakhir dalam PRU-14 lalu beliau minta saya jadi ketua bilik gerakan di Sungai Kandis. Beliau kata ini peluang untuk belajar.

Saya sahut cabaran itu dan beliau tambah tugas sebagai setiausaha jentera pilihan raya. Saya tertanya-tanya apabila dia tambah satu lagi tugas sebagai wakil calon. Saya kata “YB saya dah banyak tugas ni.”

Beliau kata, “Tak apa saya lantik tiga wakil calon.” Saya sahut cabaran ini, selain beranggapa­n beliau mahu menyalurka­n ilmu kepada saya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia