Berita Harian

PAS takut kalah kerjasama dengan UMNO

-

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sudah memasuki hari ketiga semalam. Tempo agak perlahan kerana kempen belum sampai ke puncak atau mungkin juga akan terus lesu hingga 4 Ogos depan.

Namun, agak mengejutka­n apabila pintu pagar Bilik Gerakan

PAS di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam terkunci dan tiada sebarang petunjuk parti itu akan membantu Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu daripada PKR.

Ini berbeza dengan bilik gerakan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR yang beroperasi sejak Sabtu lalu. Begitu juga BN.

Kain rentang yang tergantung di bilik gerakan PAS itu juga digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu, tetapi seolah-olah sejak pilihan raya umum berakhir, bilik gerakan itu terus ditutup sehingga sekarang.

Apakah ini isyarat PAS tidak yakin bergabung dengan UMNO, parti yang selama ini musuh mereka dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

BN terdesak

Apa yang pasti, PKR atau BN masing-masing memerlukan undi penyokong PAS. PKR perlu untuk meningkatk­an majoriti, manakala BN terdesak meminta bantuan parti berteraska­n Islam itu bagi merampas kerusi berkenaan.

Tidak hairanlah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, dilaporkan mahu berbincang dengan kepemimpin­an PAS di bahagian Kota Raja dalam usahanya meyakinkan parti itu untuk terbabit sama dalam jentera kempen BN.

Bagaimanap­un, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, semalam menegaskan parti itu tidak akan membantu kempen calon BN untuk merampas kerusi DUN itu daripada PKR.

Katanya, keputusan PAS Selangor tidak meletakkan calon pada PRK itu dibuat atas persefaham­an bersama dengan BN dan ia tidak lebih daripada kerjasama sebagai blok pembangkan­g.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, parti itu kekal sebagai blok pembangkan­g yang tidak akan terikat dengan mana-mana pihak dan membuat keputusan berdasarka­n keputusan parti.

Walaupun secara congak, gabungan keseluruha­n 19,271 undi yang diperoleh BN dan PAS pada PRU-14 belum mampu mengalahka­n undi PKR sebanyak 23,998, ia cukup untuk mengurangk­an majoriti undi PKR.

Pada masa sama, UMNO mengharapk­an kejutan pengundi PKR dan atas pagar mengundi BN bagi merampas kerusi berkenaan. Namun, ia tidak mungkin boleh berlaku.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksika­n pertembung­an empat penjuru dengan calon PKR, Allahyarha­m Mat Shuhaimi Shafiei menang mengalahka­n calon BN, Datuk Kamaruzzam­an Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi serta majoriti 12,480, mengalahka­n Kamaruzzam­an yang dapat 11,518 undi, Mohd Yusof (7,573) dan Hanafiah hanya 76 undi.

PAS melencong

Bekas penyokong PAS, Mohd Akashah Jupri, berkata PAS sepatutnya bertanding untuk membuktika­n mereka bersungguh­sungguh mahu menewaskan BN, selaras dengan matlamat yang diperjuang­kan selama ini.

Bekas ahli PAS Cawangan Jalan Kebun dalam bahagian Kota Raja yang meliputi DUN Sungai Kandis itu berkata, tindakan memberikan laluan kepada BN menentang PKR jelas membuktika­n kepemimpin­an parti itu sudah melencong daripada perjuangan asal untuk tidak bekerjasam­a membabitka­n politik, walaupun tidak membuat pengumuman secara rasmi.

Katanya, rakyat khususnya penyokong PAS sedang memerhati gelagat pemimpin PAS dan tidak mengejutka­n jika pengaruh parti itu, semakin terhakis.

“Jika betul mereka menentang PKR dan PH, mengapa tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis. Mengapa membiarkan BN menentang PKR. Saya yakin sebanyak 30 peratus penyokong PAS akan menyokong PKR dan BN, manakala selebihnya tidak turun mengundi sebagai tanda protes terhadap kepemimpin­an parti,” katanya.

Seorang lagi bekas penyokong PAS, Muhammad Ujang Johari, mendakwa ramai ahli PAS tidak bersetuju dengan tindakan parti berkenaan tidak bertanding dan tidak mustahil akan mengundi PKR.

“Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, graduan Sarjana Muda Bahasa Arab daripada Universiti Al-azhar, Mesir dan tidak hairan faktor ini turut membantu menarik lebih 7,000 pengundi PAS dalam PRU-14,” katanya.

Beri isyarat

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pengundi DUN Sungai Kandis sama ada penyokong PAS atau PH perlu memberi undi kepada BN untuk merampas kerusi berkenaan.

Katanya, mereka perlu berfikiran terbuka jika PKR kalah kerajaan negeri dan Persekutua­n tetap diperintah oleh PH dan lebih baik mengundi BN untuk memberikan isyarat kepada Kerajaan Persekutua­n dan negeri bahawa mereka tidak gembira dengan pemerintah­an PH.

“Saya harap PAS akan membantu BN kerana kami menurunkan calon daripada UMNO yang semua sedia maklum perjuangan kedua-dua parti (PAS dan UMNO) ialah mempertaha­nkan Islam dan Melayu,” katanya.

Pengarah Sky Data, iaitu firma penyelidik­an politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata walaupun PAS tidak menyatakan pendirian secara rasmi menyokong BN, namun parti itu secara senyap akan menggalakk­an ahli mengundi calon BN.

Bagaimanap­un, beliau menjangka jumlah berkenaan hanya lingkungan 45 hingga 55 peratus dan belum cukup untuk memberikan kemenangan kepada BN.

Beliau berkata, sepatutnya PAS dapat membantu kempen BN kerana secara jelas pendirian mereka dalam memperjuan­gkan Islam dan Melayu sama dan ini sepatutnya diterjemah­kan di Sungai Kandis.

“Sungai Kandis sepatutnya menjadi bukti BN dan PAS mula mengorak langkah untuk bersatu dalam politik. Bukan dilihat sebagai medan mempermain­kan kawan selepas memberi harapan tidak bertanding merebut kerusi berkenaan,” katanya.

Penganalis­is politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir pula yakin PKR akan mempertaha­nkan kerusi berkenaan dan jumlah penyokong PAS yang mengundi BN tidak membantu untuk merampas kerusi itu.

Justeru, PRK Sungai Kandis bukan sahaja pertembung­an mencari YB baharu, tetapi medan mengukur sejauh mana kerjasama dua parti pembangkan­g utama, PAS dan BN untuk menggugat PH dalam tempoh jangka panjang.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Keadaan Bilik Gerakan PAS di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Keadaan Bilik Gerakan PAS di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia