Berita Harian

Sedia 7 siri ceramah pastikan ibadah lancar

-

Makkah: Tujuh siri ceramah bimbingan haji disediakan Tabung Haji (TH) sebagai kursus ulangkaji terakhir kepada jemaah haji Malaysia bagi memastikan ibadat mereka sepanjang operasi Masyair kelak berjalan lancar.

Operasi Masyair ialah kemuncak ibadat haji dengan kewajipan menunaikan amalan tertentu pada tempoh masa ditetapkan bermula dengan wukuf di Arafah yang dijangka pada 20 Ogos, diikuti bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah.

Pengarah Operasi (Maktab), Datuk Tahar Pilus, berkata pihaknya mewajibkan jemaah menghadiri tujuh siri bimbingan itu supaya mereka mendapat maklumat lebih menyeluruh dan terkini mengenai operasi Masyair.

“Setiap siri kursus dijangka berlangsun­g selama dua hingga dua setengah jam dan dikendalik­an pembimbing TH di sini,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di sini.

Tahar berkata, selain tujuh siri bimbingan ini, TH turut menyediaka­n beberapa program ceramah untuk jemaah haji seperti taklimat pengurusan maktab yang akan dijalankan dari semasa ke semasa, selain taklimat persiapan Arafah dan Mina.

Cuaca panas

Beliau berkata, berikutan cuaca panas di Tanah Suci, jemaah perlu mendapatka­n kebenaran pengurus maktab jika ingin ke Masjidil Haram bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Setiap maktab di Makkah mempunyai kaunter perkhidmat­an pelanggan. Segala aduan dan permasalah­an dihadapi jemaah haji boleh dibuat di situ.

“Turut disediakan ialah kaunter kewangan bagi urusan pengeluara­n wang dan kaunter perkhidmat­an bimbingan untuk jemaah mendapat penjelasan mengenai apa saja kekeliruan atau kemusykila­n,” katanya.

Tahar berkata, kemudahan lain disediakan di maktab ialah klinik, kafeteria dan perkhidmat­an penghantar­an bagasi ke Malaysia.

Beliau berkata, setiap maktab ada 10 petugas yang dipertangg­ungjawabka­n untuk mengendali­kan antara 2,900 hingga 3,000 jemaah dan ini bermakna seorang petugas perlu mengendali­kan kira-kira 300 jemaah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia