Berita Harian

PM tegur menteri, timbalan ponteng sidang Parlimen

Tak cadang tetapkan KPI ukur prestasi jalankan tugas wakil rakyat

- Oleh Rohaniza Idris roha@nstp.com.my

Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen ketika persidanga­n Dewan Rakyat memasuki minggu kedua.

Bagaimanap­un, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalanka­n tugas di Parlimen.

Tak pernah puas hati

“Saya tidak pernah berpuas hati dengan semua perkara, namun menteri dan timbalan menteri perlu meningkatk­an prestasi kehadiran mereka di Dewan Rakyat dan mereka perlu ada alasan yang kukuh untuk tidak hadir,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada berpuas hati dengan tahap kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen bagi menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Berdasarka­n aturan mesyuarat Dewan Rakyat semalam, Ketua Pembangkan­g, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanya soalan pertama kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai pinjaman mudah dari Jepun tetapi mengejutka­n soalan itu di jawab Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan mengenakan KPI kerana beliau maklum bahawa menteri dan timbalan menteri mempunyai tugasan lain yang perlu dilaksanak­an.

“Sidang Dewan Rakyat ini berjalan hampir separuh hari dan untuk 20 hari persidanga­n ini sukar untuk mereka hadir dan berada di sini sepanjang hari... itu tidak praktikal.

“Kita perlukan mereka untuk tugasan lain juga,” katanya

Sudah cukup bahagikan masa

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan diri beliau dalam menjalanka­n tanggungja­wabnya sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata beliau berusaha sebaik mungkin.

“Saya sudah cuba membahagik­an masa sebaik mungkin untuk bekerja 24 jam sehari selagi mampu.

“Jika ada lebih masa hingga 36 jam sehari , saya harap dapat bekerja 36 jam sehari,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Guan Eng ketika mengulas isu beliau tidak menjawab soalan pertama berkaitan Kementeria­n Kewangan di Dewan Rakyat berkata, soalan itu sebenarnya ditanyakan kepada Perdana Menteri untuk dijawab. “Jadi saya rasa, sikap akauntabal­iti beliau itu haruslah dipuji,” katanya ringkas.

 ?? PFOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Dr Mahathir ketika menjawab pertanyaan media selepas Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
PFOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Dr Mahathir ketika menjawab pertanyaan media selepas Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia