Berita Harian

Mufti Perlis minta DAP nyata pendirian kes Ramasamy

-

Kangar: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mahu DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada mana-mana pimpinan tertinggi parti itu bersuara mengenai perkara berkenaan.

“Saya dukacita, saya hairan kerana pimpinan DAP tiada yang bersuara dalam kes ini. Saya tidak tahu kenapa mereka diam.

“Mungkin mereka sedang tunggu kenyataan polis atau sebagainya. Sekurang-kurangnya kita harap mereka akan menyebut ‘kita minta polis akan siasat’, tetapi tiada,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Pembukaan Penggal Persidanga­n Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14, di sini, semalam.

Mohd Asri berkata, sikap dwi-standard Ramasamy dapat dilihat sebelum ini apabila membantah ekstradisi anggota LTTE yang ditahan di negara ini pulang ke Sri Lanka.

Pasukan keganasan

“Ini bukan soal Dr Zakir Naik, tetapi apabila membabitka­n Dr Zakir Naik, dia (Ramasamy) meminta perkara yang berbeza dengan apa yang dia tuntut dengan LTTE.

“LTTE adalah pasukan keganasan yang bukan sahaja memerangi Kerajaan Sri Lanka, malah membunuh orang Islam. Kebencian LTTE dengan umat Islam amat ketara.

“Saya lihat kebencian dan anti-islam ini ada pada Ramasamy, ini, iaitu salah satu ciri LTTE,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kecenderun­gan Ramasamy menyokong LTTE tidak dapat dinafikan apabila pemimpin itu turut menjemput aktivis LTTE menghadiri majlis anjurannya sebelum ini.

“Kita lihat sebelum ini ada wanita yang memiliki beberapa buku mengenai ISIS sudah dihukum kerana dikaitkan dengan keganasan.

“Bagaimana Ramasamy sehingga hari ini belum diambil tindakan, sedangkan pembabitan­nya jelas dengan LTTE berbanding individu yang hanya memiliki buku dikaitkan dengan pengganas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia