Berita Harian

Rosmah nafi beli 44 barang kemas

Global Royalty hantar atas kemahuan, sendiri, saman langgar AMLATFAPUA

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali ajohari@nstp.com.my

Sebanyak 44 barangan kemas yang dihantar syarikat pemborong dari Lubnan kepada Datin Seri Rosmah Mansor untuk dipilih kerana beliau adalah isteri Perdana Menteri ketika itu.

Firma guaman Tetuan Geethan Ram mewakili Rosmah melalui kenyataan media, berkata barangan itu dihantar syarikat Global Royalty Trading SAL di atas kemahuan syarikat itu sendiri tanpa sebarang kewajipan daripada Rosmah untuk membuat pembelian.

Firma guaman itu berkata, anak guamnya tidak membeli barangan kemas yang menjadi subjek utama dalam kes saman terbabit, sehubungan itu hak pemilikan sah barangan berkenaan tidak pernah berpindah kepada anak guamnya.

“Anak guam kami menyatakan saman dikemukaka­n Global Royalty melanggar peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA),” katanya.

Kes saman remeh, salah guna proses mahkamah

Syarikat guaman itu berkata, perkara itu dinyatakan dalam pembelaan Rosmah terhadap saman dikemukaka­n Global Royalty bagi menuntut supaya barangan itu dipulangka­n atau membayar harga barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Ia berkata, seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi, pihaknya memfailkan pernyataan pembelaan itu, semalam.

“Dengan itu kami menyatakan kes saman itu adalah secara jelasnya remeh, menyusahka­n dan menyalahgu­nakan proses mahkamah dan tuntutan plaintif supaya anak guam kami membayar wang barangan kemas itu juga tidak mempunyai sebarang asas perundanga­n.

“Berdasarka­n alasan itu, anak guam kami akan memfailkan permohonan untuk membatalka­n saman berkenaan pada masa terdekat,” katanya.

Dakwa pelanggan tetap

Global Royalty berpangkal­an di Beirut memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan mendakwa, Rosmah sebagai pelanggan tetapnya dalam keadaan tertentu ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangka­n semula.

Plaintif mendakwa, seperti kebiasaan mereka akan menyerahka­n secara konsainan barang kemas terhadap defendan mengikut permintaan dan dibuat penilaian serta dipilih sebelum dibeli Rosmah.

Pembayaran akan dibuat melalui defendan sendiri atau pihak ketiga dan barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangka­n semula kepada plaintif.

Defendan didakwa akan menerima barang kemas daripada plaintif melalui dirinya sendiri, pekerja atau ejen di Kuala Lumpur, Dubai atau Singapura.

Plaintif mendakwa barang kemas yang dihantar diiringi dengan memorandum hantar serah yang menggambar­kan barang serta harga barang itu, termasuk terma dan syarat tertentu.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahka­n sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.

Defendan ada mengesahka­n dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei lalu.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahka­n secara bertulis bahawa barang itu sudah disita pihak berkuasa Malaysia.

Oleh itu, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka adalah pemilik barang kemas itu menurut undang-undang.

 ??  ?? Keratan akhbar BH bertarikh 11 Julai 2018.
Keratan akhbar BH bertarikh 11 Julai 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia