Berita Harian

Guru TASKA tidak sedar bayi jagaan tersedak susu

-

Melaka: “Walaupun masih terkejut, namun saya reda dengan pemergian anak. Kami menanti kehadirann­ya kira-kira tujuh tahun selepas anak pertama, namun hari ini (semalam) saya dan isteri berdepan situasi ini,” kata Zainal Abidin Deraman, 34, yang kematian anak lelaki bongsunya berusia empat bulan, dipercayai akibat tersedak susu di sebuah Taman Asuhan kanak-kanak (TASKA), Bukit Baru, di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian hanya disedari guru TASKA terbabit kira-kira jam 11.45 pagi semalam selepas mendapati muka bayi itu bertukar kebiruan.

Zainal Abidin berkata, ketika dihantar ke TASKA itu kira-kira jam 7.30 pagi, anaknya dalam keadaan sihat.

Beliau berkata, anaknya baru dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu selepas isterinya Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.

Dikebumi di Kelantan

“Selepas kembali bertugas, anak dijaga dua minggu oleh ibu mentua dan minggu lalu, kami menghantar­nya ke TASKA itu,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini.

Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata, jenazah anaknya dijangka dikebumika­n di Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Melaka, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Selepas memberikan rawatan menyelamat kira-kira 30 minit, bayi itu disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia