Berita Harian

Tertuduh dakwa diugut mengaku bunuh

-

Kuala Lumpur: Tertuduh keenam dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais memberitah­u Mahkamah Tinggi, di sini, semalam bahawa dia dan lima lagi tertuduh diugut supaya mengaku membunuh Kevin Morais.

S Nimalan, 25, mendakwa ugutan itu dibuat oleh beberapa pegawai penjara pada 10 April lalu di Penjara Sungai Buloh, sebaik dia pulang menghadiri perbicaraa­n kes itu di Mahkamah Tinggi di sini.

“Pada 10 April, saya balik dari perbicaraa­n dan membuat pemeriksaa­n, tiga pegawai penjara menyuruh saya membuang air besar. Ketika di dalam tandas, seorang daripada mereka datang berjumpa saya dan memberitah­u, dia sudah berjumpa dengan S Ravi Chandaran (tertuduh ketujuh) beberapa kali untuk menyuruh Ravi Chandaran supaya mengaku dalam kes ini.

Buat laporan polis

“Pegawai itu memberitah­u dia sudah berbincang mengenai wang yang akan kami semua peroleh sekiranya kami semua mengaku dalam kes ini,” katanya ketika pemeriksaa­n utama, Peguam V Rajehgopal pada prosiding membela diri hari ke13.

Saksi pembelaan kelima itu berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 17 April selepas disuruh oleh Ravi Chandaran, iaitu bapa saudaranya.

Kepada soalan Rajehgopal sama ada tertuduh terbabit dalam kes pembunuhan itu, Nimalan menjawab: “Saya tidak melakukan kesalahan ini, Yang Arif,” katanya.

R Dinishwara­n, A K Thinesh Kumar, M Vishwanath, Nimalan, Ravi Chandaran dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegar­an mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraa­n bersambung

Pada prosiding hari ini, lima tertuduh, Dinishwara­n, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi Chandaran, 47 diwakili peguam Rajehgopal, manakala Kunaseegar­an, 55, diwakili peguam Datuk N Sivanantha­n dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari INI.BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia