Berita Harian

Aliran keluar dana asing kurang hampir separuh

-

Aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti tempatan berkuranga­n hampir separuh kepada RM247.1 juta pada minggu lalu daripada RM531.8 juta pada minggu sebelumnya, demikian mengikut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Penganalis­is MIDF, Adam Mohamed Rahim, berkata ia adalah pergeseran mingguan terkecil direkodkan setakat ini pada 2018.

Adam berkata, pelabur antarabang­sa adalah penjual bersih pada setiap hari kecuali Rabu yang menyaksika­n aliran masuk dana asing berjumlah RM71.7 juta, kali pertama sejak 29 Jun 2018.

“Pasaran tempatan mengikuti jejak itu untuk ditutup 0.91 mata lebih tinggi kepada 1,753 mata susulan keyakinan Jerome Powell terhadap penilaiann­ya terhadap ekonomi Amerika Syarikat,” katanya dalam laporan mingguan yang dikeluarka­n semalam.

Katanya, jiran Asia lain, iaitu Korea Selatan, Taiwan dan Filipina juga mengalami peningkata­n aliran masuk pada hari yang sama.

“Sebaliknya, jualan bersih asing yang berlaku pada hari lain kekal di bawah RM100 juta, paras yang dianggap sederhana.

“Khamis merekodkan jualan bersih asing tertinggi pada minggu berkenaan dengan nilai bersih AS$95.6 juta.

Naik 9 hari berturut-turut

“Bukan itu sahaja, FBM KLCI turut mencatatka­n peningkata­n sembilan hari berturut-turut disokong oleh kenaikan saham pembinaan berikutan pengumuman bahawa projek HSR Kl-singapura akan ditangguh bukannya dibatalkan,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, penguranga­n aliran keluar kepada RM64.6 juta bersih pada Jumaat selari dengan penurunan 0.26 peratus dalam FBM KLCI di tengah-tengah aktiviti pengambila­n untung dalam saham telekomuni­kasi ketika ia mengetuai kaunter rugi.

Adam berkata, aliran keluar bersih asing tahun ini mencapai RM8.31 bilion atau AS$2.07 bilion, mengimbang­i kira-kira 80 peratus daripada aliran masuk RM10.33 bilion tahun lalu.

“Bagaimanap­un, angka ini masih merupakan aliran keluar kedua yang paling rendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang kami jejaki, di belakang Filipina yang mempunyai aliran keluar tahunan berjumlah AS$1.31 bilion.

“Kami menyedari bahawa penyertaan dalam kalangan pelabur asing, peruncit dan dana institusi tempatan terus bertambah baik kerana nilai dagangan purata harian (ADTV) masing-masing melebihi RM1 bilion, RM800 juta dan RM2 bilion,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia