Berita Harian

Wanita ditipu sindiket Love Scam rugi RM131,630

-

Kuantan: Seorang pembantu makmal di Maran kerugian RM131,630, selepas diperdaya seorang kenalan yang baru dikenali di laman sosial Facebook kononnya mahu memberikan hadiah mewah kepadanya.

Mangsa yang juga wanita berusia 39 tahun itu menyedari ditipu sindiket Love Scam selepas tidak menerima hadiah mewah dijanjikan kenalannya itu, walaupun sudah memasukkan duit simpananny­a ke dalam akaun diberikan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada Januari lalu apabila mangsa berkenalan menerusi Facebook dengan seorang lelaki mendakwa warga Arab, Mohammed Luqman yang kononnya tinggal di United Kingdom (UK).

Perdaya mangsa

“Suspek juga mendakwa dia menjalanka­n perniagaan tekstil di UK. Sepanjang perkenalan itu, suspek menyatakan mahu memberi hadiah barang kemas, cincin, kasut, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba dan beg tangan kepada mangsa.

“Lelaki itu mendakwa akan menghantar barang terbabit menggunaka­n Ampthill Courier.

“Pada Februari lalu, mangsa diarahkan suspek untuk membuat pembayaran kepada pihak Ampthill Courier bagi caj penghantar­an barangan berkenaan berjumlah RM1,450,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membayar caj berkenaan dengan memasukkan wang ke dalam satu akaun diberikan suspek di sebuah bank di bandar Maran.

“Sehingga bulan lalu, mangsa sudah membuat beberapa kali transaksi melalui mesin deposit tunai ke dalam tujuh akaun berlainan yang diberikan suspek dengan alasan kos keselamata­n penghantar­an barangan berkenaan.

“Semua transaksi itu dibuat di Bank CIMB cawangan Maran dengan jumlah anggaran semua transaksi sehingga hari terakhir pindahan wang dilakukan pada 7 Jun lalu sebanyak RM131,630,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi diarahkan suspek membuat transaksi RM6,000 bagi tempahan van keselamata­n dan caj lain, tetapi dia tidak berbuat sedemikian selepas menyedari ditipu.

“Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan berjaya mengesan nama pemilik tujuh akaun yang digunakan mangsa, untuk memindahka­n wang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda,” katanya.

Kita berjaya mengesan nama pemilik tujuh akaun yang digunakan mangsa, untuk memindahka­n wang berkenaan” Mohd Wazir Mohd Yusof, Ketua JSJK Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia