Berita Harian

RCPJ bela nasib ibu tunggal

Program percuma Supermum Bakeri sedia kemahiran jadi usahawan

- Oleh Nor Hatina Shuib

Melalui kitaran hidup daripada sebagai isteri sehingga berstatus ibu tunggal bukan alasan untuk terus meratapi nasib diri memandangk­an ada perut yang meminta untuk diisi setiap hari.

Bagi empat ibu tunggal, Ng Soo Yin, 56; J Panimalar, 38; P Tharani, 46; dan Tham Sin Chin, 38, masingmasi­ng sudah menempuh hidup sebagai ibu tunggal dan pastinya sumber kewangan adalah keperluan utama untuk meneruskan kehidupan bersama anak yang ditinggalk­an.

Sama ada berstatus ibu tunggal disebabkan diceraikan atau kehilangan suami akibat kematian, empat ibu tunggal ini positif menyahut cabaran kehidupan menaikkan taraf kemahiran diri dengan menyertai program latihan Supermum Bakeri secara percuma anjuran Rotary Club Petaling Jaya (RCPJ).

Tukang masak sekolah swasta, Ng Soo Yin, berstatus ibu tunggal sejak 20 tahun lalu selepas suami meninggal dunia disebabkan kanser bersama dua anak yang ketika itu berusia dua dan tiga tahun.

“Saya menyara kehidupan keluarga dengan menjadi tukang masak di sekolah. Program latihan ini membantu saya mengembang­kan bakat. Saya bakal kehilangan kerja sebelum ini kerana khidmat sudah tidak diperlukan lagi.

“Penyertaan dalam program ini membuatkan saya bersemanga­t untuk melatih orang lain dalam bidang bakeri. Sudah berusia melebihi 55 tahun, tidak ada yang sudi mengambil saya bekerja. Jadi, apabila kita ada kemahiran, boleh bekerja sendiri dan berniaga,” katanya.

Beliau ditemui pada Hari Super Mum yang dianjurkan di Taman Megah, di sini, baru-baru ini.

Soo Yin berkata, sebelum ini, beliau kerap memasak kek dan pastri, tetapi hanya menghidang­kan kepada keluarga.

Katanya, selepas mempelajar­i ilmu kemahiran ini, beliau lebih yakin untuk mempromosi produk kek kepada pelanggan.

“Inisiatif RCPJ, membantu ibu tunggal dengan kaedah ini perlu diteruskan supaya lebih ramai nasib ibu tunggal terbela dengan pendidikan dan kemahiran,” katanya.

Ditinggalk­an suami

Peniaga produk, J Panimalar, pula berkata, sejak ditinggalk­an suami lebih setahun lalu, beliau adakalanya berputus asa apatah lagi ketika itu anak ketiga, baru berusia beberapa bulan.

Ibunya berusia 70 tahun pula mengalami masalah kesihatan.

“Pernah rasa murung, tetapi anak-anak menguatkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik. Zaman ini, semua memerlukan duit dan kos kehidupan juga tinggi.

“Saya harapkan dapat memperbaik­i kehidupan, menghantar anak ke sekolah dan membesarka­n mereka dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, apa saja kerja yang mendatangk­an rezeki buat mereka seisi keluarga, akan diusahakan sehingga selesai.

“Macam-macam saya lakukan. Daripada menjadi peniaga dalam talian, produk air bersih sehingga menjual baju dari rumah ke rumah, saya buat demi anak-anak.

“Penyertaan dalam program latihan bakeri ini berpotensi mengembang­kan bakat sebagai usahawan. Saya bercadang mengambil tempahan kek dan pastri apabila tamat latihan nanti,” katanya.

Rancang buka bakeri

Guru swasta, P Tharani yang menjadi ibu tunggal sejak 16 tahun lalu sentiasa membangkit­kan semangat untuk berdikari dan membesarka­n tiga anak selepas bercerai.

Kata beliau, apabila kesemua anak sudah meningkat dewasa, menjadi kerisauan lain bagi ibu tunggal sepertinya kerana tidak ada masa mencukupi memantau kegiatan seharian anak.

“Saya perlu bekerja selama lapan jam sehari. Jadi, mustahil dapat memantau pergerakan anak. Malah, saya tidak dapat menyediaka­n makanan sihat untuk mereka setiap hari.

“Oleh itu, saya tertarik menyertai program ini kerana dapat bekerja secara fleksibel, bekerja dari rumah dan pada masa sama, menyediaka­n keperluan anak,” katanya.

Malah, beliau merancang membuka perniagaan bersama anak perempuann­ya yang mempunyai pendidikan dalam bakeri di sebuah institusi swasta.

“Sebagai ibu tunggal, selain perlu mendapatka­n sokongan keluarga, institusi kemasyarak­atan yang prihatin turut mendorong golongan ini untuk mengubah hala tuju kehidupan ke arah lebih baik.

Harap dapat ubah kehidupan

Usahawan kecantikan, Tham Sin Chin, 38, baru kehilangan suami yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, tahun lalu.

“Saya perlu menyara hidup anak perempuan berusia sembilan tahun. Pada awal kematian suami, rasa tertekan kerana perlu mencari kerja dan sumber pendapatan. Sebelum ini, saya suri rumah dan kini mula menjalanka­n perniagaan seperti rawatan kecantikan dan beberapa perniagaan kecil dalam talian.

“Saya bernasib baik kerana keluarga sentiasa membantu dan menyokong. Program latihan ini diharapkan dapat memberikan saya hala tuju perniagaan baharu dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” katanya.

Sudah berusia melebihi 55 tahun, tidak ada yang sudi mengambil saya bekerja. Jadi, apabila kita ada kemahiran, boleh bekerja sendiri dan berniaga” Ng Soo Yin, Tukang masak sekolah swasta

Saya harapkan dapat memperbaik­i kehidupan, menghantar anak ke sekolah dan membesarka­n mereka dengan sempurna” J Panimalar, Peniaga produk

Saya tertarik menyertai program ini kerana dapat bekerja secara fleksibel, bekerja dari rumah dan pada masa sama, menyediaka­n keperluan anak” P Tharani, Guru swasta

Saya bernasib baik kerana keluarga sentiasa membantu dan menyokong. Program latihan ini diharapkan dapat memberikan saya hala tuju perniagaan baharu dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik” Tham Sin Chin, Usahawan kecantikan

 ?? [ FOTO AMIRUDIN SAHIB / BH ] ?? Dari kiri; Soo Yin, Sin Chin, Panimalor dan Tharani menjalani kursus membuat kuih dikendalik­an Foo Hai May pada Hari Super Mum anjuran RCPJ di Taman Megah, Petaling Jaya, baru-baru ini.
[ FOTO AMIRUDIN SAHIB / BH ] Dari kiri; Soo Yin, Sin Chin, Panimalor dan Tharani menjalani kursus membuat kuih dikendalik­an Foo Hai May pada Hari Super Mum anjuran RCPJ di Taman Megah, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia