Berita Harian

Malaysia boleh jadi juara di NY

Skuad kita makin kuat selepas muncul naib juara di Manchester pada 2016

- Oleh Haika Khazi

Skuad dodgeball Malaysia mampu menjuarai di kejohanan Piala Dunia Dodgeball di Madison Square Garden New York City, Amerika Syarikat (AS), pada awal bulan depan.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata sasaran itu bukan satu perkara mustahil kerana skuad kebangsaan pernah merangkul gelaran naib juara di Piala Dunia Dodgeball 2016 di Manchester.

Tambahan pula, Mas Ermieyati berkata skuad kebangsaan kini semakin kuat selepas tewas kepada England, 3-14 di pentas final Piala Dunia Dogeball 2016.

“Malah, kita turut menghantar skuad dodgeball kebangsaan untuk menjalani latihan ala tentera selama beberapa bulan bagi memastikan mereka benar-benar bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran di Piala Dunia Dodgeball, tidak lama lagi.

“Justeru itu, saya percaya Malaysia bukan hanya mampu merangkul juara dan menang hanya satu emas menerusi acara dodgeball lelaki, malah acara wanita dan campuran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahaa­n Jalur Gemilang kepada skuad dodgeball kebangsaan disempurna­kan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Penting tarik penaja

Dodgeball adalah permainan di mana pemain daripada keduadua pasukan cuba membaling bola ke atas satu sama lain, sambil mengelak daripada terkena bola berkenaan, seperti permainan bola beracun.

Skuad dodgeball Malaysia berlepas ke AS esok sebagai persiapan awal dan menyesuaik­an diri dengan keadaan cuaca sejuk, menjelang Piala Dunia Dodgeball, pada 4 Ogos depan.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika ditemui melahirkan rasa yakin bahawa skuad dodgeball Malaysia mampu meraih sekurang-kurang satu pingat emas di Piala Dunia Dodgeball 2018 nanti.

“Kemenangan ini penting bagi membuka mata banyak pihak, terutama penaja untuk terus tampil memberi sokongan kepada pasukan dodgeball kebangsaan pada masa depan.

“Saya juga akan melakukan apa yang termampu bagi membantu usaha memartabat­kan dan mempopular­kan dodgeball menjadikan­nya sama taraf dengan sukan massa lain seperti bola sepak dan badminton,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia