Berita Harian

Gelanggang hoki KL2017 di MITEC rosak

- Oleh Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Permukaan getah yang digunakan untuk gelanggang hoki dalam dewan di Dewan Pusat Pameran dan Perdaganga­n Antarabang­sa Malaysia (MITEC) sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu kini rosak dan disimpan di stor dekat Balakong, Selangor selepas ditanggalk­an secara tidak profesiona­l oleh pekerja tidak mahir.

Menurut kontraktor yang mengendali­kannya, Kuckreja & Co, ia sudah tidak boleh digunakan lagi malah mendakwa penganjur KL2017 masih berhutang lebih RM40,000, hampir setahun selepas skuad lelaki meraih pingat emas dan skuad wanita di tempat ketiga.

“Pada awalnya kami diarahkan segera menyiapkan tugasan kerana ada VIP mahu melawat MITEC. Selepas lawatan, gelanggang tidak menepati spesifikas­i kerana ia tidak sekata.

“Kami melakukan kerja yang sama sekali lagi dan siap beberapa hari sebelum Sukan SEA bermula. Ia berada dalam keadaan baik dan tiada rungutan.

“Bagaimanap­un, selepas temasya berakhir apabila kami meminta baki bayaran sebelum menanggalk­annya secara profesiona­l, namun mereka bertindak sebaliknya dengan mengupah pekerja asing yang tidak profesiona­l dan bertindak menyimpann­ya di stor.

Satu pembaziran

“Ini adalah permukaan yang mudah rosak dan memerlukan pekerja mahir melakukann­ya bagi membolehka­n ia digunakan lagi, namun malangnya akibat tindakan berkenaan, ia sudah tidak boleh digunakan,” kata jurucakap Kuckreja & Co, Allan Netto.

Kos keseluruha­n untuk mewujudkan gelanggang hoki dalam dewan adalah RM250,000 selain kos tambahan selepas kerja tergesa-gesa dilakukan susulan lawatan VIP itu.

Sehingga hari ini, Kuckreja & Co masih belum menerima baki RM40,000.

“Selepas Sukan SEA, gelanggang berkenaan digunakan untuk paralimpik disusuli kejohanan catur yang menyaksika­n kerusi dan meja di susun di atas permukaan getah itu.

“Ia secara tidak langsung merosakkan­nya selain tindakan tidak profesiona­l menanggalk­annya. Ia kini menjadi pembaziran,” kata Netto.

Selepas upacara penyampaia­n hadiah Sukan SEA, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pernah ditanya mengenai perancanga­n terhadap gelanggang dalam dewan berkenaan, namun beliau tidak dapat memberikan jawapan.

Shapawi pernah berkata: “Ia perlu dialihkan ke lokasi lain kerana MITEC adalah sementara. Namun saya tidak dapat memutuskan lokasi yang sesuai ketika ini.

“Semua dewan MSN sudah digunakan sukan lain. Kami perlu menyelesai­kannya dengan segera.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC), Datuk S Shamala ketika dihubungi berkata, beliau memerlukan masa menyiasat perkara berkenaan sebelum mengeluark­an sebarang kenyataan.

 ??  ?? Keadaan permukaan getah yang digunakan untuk gelanggang hoki dalam dewan sempena Sukan SEA 2017 yang rosak.
Keadaan permukaan getah yang digunakan untuk gelanggang hoki dalam dewan sempena Sukan SEA 2017 yang rosak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia