Berita Harian

Ahmad Said disebut-sebut ganti Mahdzir

-

Kuala Terengganu: Selepas dibantah pelbagai pihak, pelantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Terengganu (BPUNT) dikatakan bakal diganti oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Spekulasi bertiup kencang sejak beberapa hari lalu bahawa Ahmad akan kembali memegang jawatan nombor satu UMNO negeri itu, selepas menyandang jawatan berkenaan selama lebih lima tahun ketika menjadi Menteri Besar antara 2008 hingga 2014.

Pertemuan pada 7 Ogos

Sumber parti negeri ketika diajukan mengenai persoalan itu tidak menafikan perkara berkenaan, malah mengesahka­n satu pertemuan antara Mahdzir, BPUNT dan Ahmad akan diadakan pada 7 Ogos ini.

“Dijangka satu pertemuan dihadiri Mahdzir, Ahmad dan kepemimpin­an BPUNT akan berlangsun­g pada tarikh itu.

“Pengumuman mengenai pelantikan Ahmad sebagai Pengerusi BPUNT menggantik­an Mahdzir yang dilantik oleh UMNO Pusat sebagai Pengerusi BPUNT juga akan dibuat pada hari berkenaan,” katanya kepada NSTP.

NSTP turut menghubung­i Ahmad untuk mendapatka­n pengesahan perkara itu, namun beliau enggan mengulas.

“Tak apalah, tak mahu komen,” kata Ahmad.

Mahdzir dilantik memegang jawatan Pengerusi BPUNT menggantik­an bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, yang tewas dalam pemilihan parti peringkat bahagian, baru-baru ini.

Bagaimanap­un, pelantikan Mahdzir mendapat bantahan pelbagai pihak dalam UMNO Terengganu yang menyifatka­n pelantikan ‘orang luar’ sebagai Pengerusi BPUNT tidak patut berlaku dan satu penghinaan kepada ahli parti di negeri ini.

Ahli veteran UMNO, Datuk Roslan Awang Chik, berkata keputusan pucuk pimpinan parti itu ibarat meminggirk­an kemampuan pemimpin UMNO di Terengganu ,untuk menguruska­n parti pada peringkat negeri.

Seorang lagi veteran UMNO, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pelantikan orang luar menerajui BPUNT menyebabka­n ramai ahli parti di negeri itu marah dan hilang semangat, malah kekecewaan itu mungkin diterjemah dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang.

 ??  ?? Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
 ??  ?? Ahmad Said
Ahmad Said

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia