Berita Harian

BN tiada peruntukan bayar jentera, petugas kempen

Program lesu, kelibat komponen belum kelihatan bantu parti

- Oleh Mohd Azrone Sarabatin, Khairul Azran Hussin dan Mohd Nasaruddin Parzi

Tiada peruntukan untuk petugas dan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyebabka­n program kempen parti itu lesu, biarpun tempoh berkempen sudah memasuki hari keempat, semalam.

Tidak seperti kebiasaan, sebaik selesai hari penamaan calon, berpusu-pusu petugas jentera BN, terutama UMNO dari seluruh negara akan dikerah ke kawasan PRK bagi membantu calonnya, termasuk membuka bilik gerakan bagi mewakili negeri masing-masing.

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang ditemui, mengakui keadaan itu, sekali gus mengubah suasana berkempen jentera BN pada PRK kali ini, yang dilihat tidak semeriah seperti dulu.

Beliau berkata, dalam PRK sebelum ini, petugas dan jentera yang berkampung di sesuatu kawasan PRK akan diberikan elaun, sama ada untuk kerja harian atau minggu, namun kali ini tiada imbuhan.

Pergerakan tiada duit

“Semua sekali pergerakan kita tiada duit. Kalau ikut budaya lama, semua ada elaun kerja harian atau mingguan sepanjang tempoh berkempen.

“Sebab itu kita kena ubah sikap ini. Saya pun hanya membayar pemandu saya, ( jentera) selebihnya sukarela,” katanya.

Berbeza PRK sebelum ini, BN akan membuka bilik gerakan di setiap pusat daerah mengundi bagi membolehka­n jentera mengatur gerak kerja bertemu pengundi. Namun, suasana lazim seperti itu tidak disaksikan pada PRK Sungai Kandis.

Bahkan, kelibat jentera komponen BN seperti MCA, MIC dan MYPPP juga masih belum kelihatan, mengatur atau mengadakan sebarang program kempen di kawasan terbabit.

Ditanya sama ada komponen BN lain sudah mengatur program khusus untuk kempen calon BN di PRK, Lokman berkata, perkara itu belum dapat dipastikan.

“Saya sudah minta kerjasama daripada rakan kaum India dan saya juga ada nyatakan perkara sama kepada teman daripada MCA. Cuma semalam (kelmarin), ada sebahagian mereka sudah tunjukkan mereka hadir dalam kempen kita.

“Mungkin mereka sedang menyusun sebab tiba-tiba ada PRK. Jadi persiapan dan tindakan itu tidak sempurna seperti sebelum ini,” katanya.

Tinjauan BH di kawasan Jalan Kebun, di sini mendapati belum ada kibaran bendera parti yang bertanding serta sepanduk kempen dan calon dipasang di sepanjang jalan utama.

Sementara di sekitar Jalan Langat, Klang, hanya jentera PKR yang bergerak dari rumah ke rumah dan bersemuka dengan pengundi di medan selera dan masjid.

Hanya poster calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, serta bendera PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kelihatan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditanya sama ada MCA sudah mengatur program kempen di PRK Sungai Kandis, beliau menjelaska­n tidak pasti berkenaan perkara itu.

“Rasanya macam ada. Tapi sila peroleh jadualnya daripada Datuk Seri Liow (Tiong Lai),” katanya.

Bagaimanap­un, pegawai media kepada Tiong Lai, yang juga Pengerusi MCA Selangor, Lim Chau Leng, ketika dihubungi menyatakan MCA belum mengatur sebarang program kempen di Sungai Kandis.

“Tidak ada lagi program MCA dan Datuk (Seri Liow Tiong Lai) di sana,” katanya.

Dalam pada itu, ketiadaan pemimpin kanan MIC sejak hari penamaan calon hingga kini menimbulka­n tanda tanya, sama ada parti itu membiarkan UMNO bersendiri­an atau sebaliknya.

Ketua Pemuda MIC Selangor, D Kajendran, berkata ahli parti itu mengharapk­an kedatangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswara­n dan Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany.

Tarik undi kaum India

Katanya, sekurang-kurangnya kehadiran dua pemimpin itu membantu menarik undi pengundi India dan menaikkan semangat mereka selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

DUN Sungai Kandis kini menyaksika­n pecahan pengundi dengan majoriti Melayu, iaitu 71.34 peratus, diikuti kaum India (15.69 peratus), Cina (11.75 peratus) serta 1.1 peratus kaum lain.

Sementara itu, Lokman berkata, beliau yakin mampu menang tipis sekitar 135 undi bersandark­an sokongan PAS dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang akan beralih ke BN.

“Kita sudah buat beberapa bancian. Jika BN dapat 80 peratus undi daripada PAS dan sekiranya pimpinan tertinggi PAS turun (berkempen di sini), mungkin boleh dapat lebih lagi,” katanya yang yakin menarik 17 peratus undi penyokong PH.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia