Berita Harian

Penduduk mahu wakil rakyat maju infrastruk­tur

-

Shah Alam: Dalam kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, penduduk sekitar Jalan Kebun di sini, mahu bakal wakil rakyat kawasan berkenaan memberi tumpuan untuk menaik taraf infrastruk­tur di situ.

Penduduk mendakwa walaupun pembanguna­n di Jalan Kebun tidak serancak seperti di kawasan lain, isu infrastruk­tur masih menjadi masalah utama terutama membabitka­n sistem perparitan dan alam sekitar.

Penduduk, Muhamad Othman Ahmad Mughni, 51, berkata Jalan Kebun tidak memerlukan pembanguna­n yang berlebihan bagi mengekalka­n suasana perkampung­an yang wujud sejak sekian lama.

Pantau pembanguna­n

Katanya, pembanguna­n yang rancak berlaku di sekeliling Jalan Kebun perlu dipantau bagi memastikan kawasan itu tidak menjadi seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur.

“Penduduk tidak mahu pembanguna­n yang berlebihan sebaliknya mahu bakal wakil rakyat memberi tumpuan terhadap isu infrastruk­tur. Kami tidak mahu menjadi Kampung Baru kedua di mana pembanguna­n yang terlalu rancak di sekitarnya menyebabka­n kawasan itu seakan-akan ketinggala­n.

“Semua kemudahan asas sudah ada di Jalan Kebun, namun beberapa masalah seperti sistem perparitan dan alam sekitar perlu diberi keutamaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zainal Ibrahim, 43, berkata sistem perparitan sedia ada perlu dinaik taraf dengan segera bagi mengelak berlakunya banjir kilat yang kerap melanda beberapa kawasan di situ.

“Kami tidak mahu bangunan tinggi atau kondominiu­m mewah, cukup sekadar menaik taraf infrastruk­tur di kawasan ini. Longkang sedia ada perlu dinaik taraf kerana ada sesetengah­nya tidak sistematik.

“Setiap kali hujan lebat, penduduk mula bimbang jika berlaku banjir kilat. Saya amat berharap bakal wakil rakyat di Sungai Kandis akan memberi keutamaan kepada perkara ini,” katanya.

Penduduk tidak mahu pembanguna­n yang berlebihan sebaliknya mahu bakal wakil rakyat memberi tumpuan terhadap isu infrastruk­tur” Muhamad Othman Ahmad Mughni, Penduduk

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia