Berita Harian

Kerajaan tak terikat laporan MPK

Khairy Jamaluddin persoal kuasa, akauntabil­iti Majlis Penasihat Kerajaan

- Oleh Rohaniza Idris dan Rizanizam Abdul Hamid

Suasana di Dewan Rakyat semalam sedikit hangat apabila wakil rakyat pembangkan­g mempersoal­kan punca kuasa Majlis Penasihat Kerajaan (MPK).

Pada sesi soal jawab, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-UMNO Rembau) membangkit­kan fungsi MPK yang dilihat bukan sahaja memberi nasihat tetapi memberi arahan dan menjadi perunding kepada kerajaan.

“Apakah punca kuasa MPK, memandangk­an mereka bukan hanya memberi nasihat tetapi memanggil Ketua Halim Negara, Tun Raus Shariff dan mengarahka­n beliau meletakkan jawatan.

“Itu bukan nasihat tetapi arahan dan sekarang seorang ahli MPK pergi ke China untuk mewakili negara dalam satu rundingan, adakah ini dinamakan memberi nasihat,” soalnya yang mendapat sokongan Ahli Parlimen pembangkan­g lain.

Khairy turut mempersoal­kan pengaruh Pengerusi MPK, Tun Daim Zainuddin menjadi wakil kerajaan berunding di China dan pelantikan seorang ahli MPK, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

“Bilakah MPK ini akan dibubarkan, kerana mereka ini tidak dipilih dan akauntabil­itinya dipersoal,” katanya.

Penubuhan MPK perkara biasa

Menjawab soalan Khairy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata penubuhan MPK satu perkara biasa yang juga pernah dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kerajaan BN banyak melantik badan penasihat, termasuk penasihat untuk syarikat 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

“MPK ini hanyalah satu badan penasihat yang tidak terikat dengan mana-mana peruntukan undang-undang atau ‘locus standi’.

“Itu lawatan (kunjungan Tun Daim ke China) dan diarahkan oleh Perdana Menteri. Sekiranya diarahkan kenalah beliau pergi.

“Isu akauntabil­iti ini terletak kepada Jemaah Menteri kerana laporan MPK ini tidak mengikat kerajaan untuk melaksanak­annya,” katanya.

Vui Keong berkata, laporan MPK ini diambil, didengari, ditimbangk­an dan akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan selepas itu.

“Mereka hanya menasihatk­an negara tetapi terpulang kepada kerajaan untuk laksanakan atau tidak. Kita tidak terikat dengan laporan MPK,” katanya

Bubar selepas 100 hari

Menjawab mengenai tarikh MPK akan dibubarkan, Vui Keong berkata, majlis itu memberi nasihat kepada janji yang diputuskan kerajaan untuk dilaksanak­an dalam tempoh 100 hari dan selepas tempoh itu, ia akan dibubarkan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Khairy mendesak MPK segera dibubarkan sekiranya badan lantikan Perdana Menteri itu terus bertindak melangkaui peranannya sebagai penasihat kerajaan.

Beliau berkata, ketika ini tindakan MPK menimbulka­n banyak persoalan kerana boleh bertindak mewakili kerajaan antaranya dalam rundingan dua hala.

“Ini boleh menimbulka­n masalah akauntabil­iti sekiranya masih berterusan seperti sekarang. Elok dibubarkan sebab akauntabil­iti mesti diletakkan pada Kabinet kalau mereka hanya badan penasihat semata-mata.

“Ya memang betul kerajaan dahulu ada penasihat tetapi tidak pernah ada kuasa atau diberi kuasa arah Ketua Hakim Negara menghadap dan diberitahu bahawa Tun Raus perlu letak jawatan. Tidak pernah sejauh itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia