Berita Harian

PAS yakin RUU 355 dibentang di Parlimen

-

Kota Bharu: Kerajaan PAS Kelantan optimis kerajaan akan memberi laluan bagi membolehka­n Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dibentangk­an di Parlimen.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddi­n Daud, berkata keyakinan itu bersandark­an bahawa sikap seseorang boleh berubah, begitu juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengakui ketika Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 diluluskan sebelum ini, Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri memberi amaran supaya perkara itu tidak diteruskan.

“Namun, apabila Dr Mahathir kini menjadi Perdana Menteri ketujuh, saya melihat sikap itu boleh berubah.

Harap seperti isu royalti

“Sebagai contoh, Dr Mahathir juga menafikan hak royalti Kelantan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, namun kini beliau menyatakan kesanggupa­n untuk membayarny­a.

“Kita beranggapa­n dan berharap isu RUU 355 juga sama seperti isu royalti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukaka­n Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-KOK Lanas) pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Mohd Nassuruddi­n yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan semula dengan kerajaan Pusat dan tidak akan berputus asa.

Terdahulu, Md Alwi mencadangk­an supaya PAS Kelantan mencuba nasib sekali lagi dengan kerajaan Pakatan Harapan supaya RUU 355 dapat diteruskan.

“Kita berjaya yakinkan kerajaan terdahulu sehingga mereka bersetuju. Tak boleh ke kali ini kita test Perdana Menteri yang ketujuh.

“Kita lihat apa yang mereka boleh lakukan dan kita yakin rakyat akan bersama kita untuk sesuatu yang baik mengenai Islam,” katanya.

 ??  ?? Mohd Nassuruddi­n Daud
Mohd Nassuruddi­n Daud

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia